April 23, 2016

Amarah guru tuisyen

KEADAAN kanak-kanak yang cedera di seluruh badan disyaki dipukul guru tuisyen.

Nur Saliawati Salberi
nursaliawat@hmetro.com.my

Melaka: Seorang guru wanita sebuah pusat tuisyen di Gajah Behrang, di sini, disyaki memukul anak muridnya yang berumur lapan tahun hingga meninggalkan kesan lebam pada beberapa bahagian badan mangsa dipercayai kerana berang mangsa gagal menyiapkan kerja rumah, jam 2 petang, 13 April lalu.

Menurut sumber, mangsa dihantar ke pusat tuisyen terbabit oleh datuknya.

“Bagaimanapun, datuk mangsa berasa ada tidak kena selepas menemui kesan lebam pada kaki, tangan dan badan cucunya selepas mangsa pulang daripada kelas tuisyen.

“Berikutan itu, datuk mangsa terus membawanya ke Hospital Melaka untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum membuat laporan polis berhubung kecederaan terbabit, Rabu lalu,” katanya, semalam.

Menurut sumber, susulan laporan dibuat, anggota polis pergi ke pusat tuisyen terbabit jam 10.30 malam kelmarin, sebelum menahan guru wanita berusia 37 tahun itu bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis negeri Datuk Ramli Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat datuk kanak-kanak terbabit berkaitan kejadian berkenaan.

“Guru wanita itu ditahan semalam (kelmarin) sebelum dibebaskan hari ini (semalam) dengan jaminan polis selepas keterangannya direkodkan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

myMetro 23 April 2016


Dipukul kerana tak siapkan kerja sekolah

SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN & NORSHIKIN MOHD SALLEH

BANDA HILIR - Seorang guru sebuah pusat tuisyen ditahan polis di sini, kelmarin kerana dipercayai memukul seluruh badan anak murid perempuannya sehingga berbirat.

Menurut sumber, kanak-kanak berusia 8 tahun itu dipukul dikatakan kerana tidak menyiapkan latihan yang diberikan guru wanita berusia 37 tahun berkenaan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din berkata, guru berkenaan ditangkap di pusat tuisyen di Gajah Behrang, di sini kira-kira 10.30 malam kelmarin selepas polis menerima laporan pada 20 April lalu.

“Wanita itu kini ditahan reman sebelum dibebaskan dengan jaminan selepas siasatan terhadapnya selesai petang tadi (semalam).

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Difahamkan, kanak-kanak tahun dua itu tinggal dan bersekolah di negeri ini bersama nenek dan datuknya,  sementara ibu bapanya bekerja di Singapura.

Datuk kanak-kanak itu yang berusia 63 tahun membuat laporan pada 20 April lalu di Balai polis Tengkera selepas melihat kesan seperti dipukul rotan pada anggota badan cucunya yang baru balik dari pusat tuisyen, kira-kira jam 7.15 malam, Rabu lalu.

Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan.

Sementara itu, di JOHOR BAHRU, datuk kepada kanak-kanak tersebut membuat sidang media di pejabat Pengaduan Awam Timbalan Pengerusi Biro MCA Pasir Gudang, Lim Thow Siang, kelmarin.

“Anak perempuan saya bekerja di Singapura dan tinggal di Johor Bahru dengan bapa tiri kanak-kanak ini. Dia menguruskan perniagaan dan saya yang menjaganya sejak kecil.

“Ini bukan kali pertama cucu saya dirotan di pusat tuisyen itu tetapi saya anggap ia perkara biasa kerana hanya memukulnya di tangan,” katanya.

Sementara, bapa tiri kanak-kanak terbabit yang turut serta dalam sidang media itu juga tidak berpuas hati dengan tindakan guru terbabit.

“Guru itu kata anak perempuan saya lambat dalam pelajaran dan tidak menyiapkan kerja rumah. Itulah sebabnya dia  memukulnya.

“Ketika mula masuk pusat tuisyen itu, memang pentadbiran pusat ada beritahu guna kaedah rotan dan kami sedar dia selalu dirotan di tangan tetapi apabila hampir keseluruhan kakinya lebam, itu serius,” katanya.

Sinar Harian 23 April 2016



0 comments:

Post a Comment