April 19, 2016

Kakitangan hospital maut

Keadaan mayat mangsa sebelum dihantar ke hospital.

KUALA NERUS – Seorang pembantu perawatan kesihatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya, tidak jauh dari lokasi kejadian, maut setelah terlibat dalam kemalangan di Kampung Gong Datok, Mengabang Telipot, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam itu, mangsa, Shafie Abd Rahman, 50, yang masih lengkap memakai uniform kerja, meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah.

Kejadian dipercayai berlaku selepas sebuah kereta Perodua Myvi cuba membuat pusingan U secara tiba-tiba lalu berlanggar dengan motosikal ditunggangi mangsa.

Mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dari arah Kuala Terengganu menghala ke Batu Rakit, tidak sempat mengelak lalu melanggar sisi kanan kereta berkenaan.

Bagaimanapun, pemandu kereta yang merupakan penuntut institusi pengajian tinggi, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, jenazah mangsa yang beralamat di Kampung Gong Datok, Mengabang Telipot, dihantar ke hospital untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

Sinar Harian 30 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment