February 11, 2016

Rupanya bau asap kebakaran rumah

Api marak membakar rumah Abdul Samad di Kampung Parit Mat Alam, Parit Buntar malam kelmarin.

PARIT BUNTAR - Sepasang suami isteri tidak menyangka, bau yang disangka asap dari pembakaran sampah sarap rupanya asap kebakaran yang memusnahkan rumah mereka.

Abdul Samad Asab, 52, dari Kampung Parit Mat Alam, di sini, berkata, dalam kejadian jam 7.10 malam kelmarin, dia berada di dalam rumah, manakala isterinya berada di pekarangan rumah sedang membakar sampah.

Menurutnya, beberapa minit selepas itu, dia terhidu bau asap yang kuat dari arah belakang rumah, namun menyangka bau itu datang daripada asap pembakaran sampah.

“Bagaimanapun, bau asap ini semakin kuat dan saya segera meminta isteri meneliti bahagian dapur kerana yakin bau ni datang dari arah itu.

“Sebaik isteri dari arah pekarangan rumah membuka pintu dapur, dia terkejut mendapati api sudah marak membakar rumah,” katanya kepada media di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Amanah Parit Buntar, Hamdan Fadel Ahmad.

Abdul Samad berkata, isteri kemudian menjerit mengarahkannya keluar dari rumah.

Menurutnya, sebaik meninggalkan rumah, mereka terdengar bunyi letupan gas diikuti api mula merebak ke seluruh bahagian rumah.

“Kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang  dan jumlah anggaran kerugian ditanggung lebih RM7,000.

“Kejadian ini merupakan dugaan besar, namun kami bersyukur tiada kehilangan nyawa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar, Penguasa Bomba Kanan II Ahmad Rossyed memaklumkan pihaknya menerima panggilan pada jam 7.24 malam.

Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas C yang terbakar 60 peratus.

“Bagaimanapun, tiada mangsa yang tercedera. Sehingga kini, punca kejadian masih disiasat,” katanya.

Dalam pada itu, Hamdan Fadel menegaskan Amanah Parit Buntar bersimpati dengan nasib menimpa keluarga itu dan menyerahkan wang tunai RM700 kepada Abdul Samad.

Sinar Harian 10 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment