February 3, 2016

Kanak-kanak sakit kulit genetik perlu RM4,000 sebulan


Halimaton menunjukkan badan Muhammad Hazreel Mikail yang terpaksa dibalut selepas mandi.
Kanak-kanak sakit kulit genetik perlu RM4,000 sebulan

PASIR GUDANG - Tidak pernah menyangka anak lelaki yang dilahirkan normal rupanya dikesan menghidap penyakit kulit genetik sehingga seluruh tubuhnya terpaksa dibalut berkemungkinan besar sepanjang hayatnya.

Noor Halimaton Hashim, 35, berkata, akibat penyakit itu, kulit anaknya, Muhammad Hazreel Mikail Hizar, 5, menjadi terlalu sensitif sehingga mengeluarkan gelembung air dan melecet.

Menurutnya, keadaan jari kaki dan tangan anak ketiganya itu yang sebelum ini normal mula bercantum selepas terlalu kerap melecet.

“Kulitnya langsung tak boleh tertekan kerana akan mengeluarkan gelembung air yang kemudiannya melecet.

“Saya kena segera pecahkan gelembung air yang timbul di kulitnya kerana ia akan melecet mengikut saiz gelembung air itu membesar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Flat Tasek Bandar Seri Alam, di sini.

Noor Halimaton berkata, anaknya itu tidak banyak ragam tetapi akan menangis kerana menahan sakit setiap kali dimandikan dan ketika gelembung di kulitnya dipecahkan.

Katanya, setiap bulan dia memerlukan sekurang-kurangnya RM4,000 untuk keseluruhan kos perubatan termasuk membeli pembalut untuk dibalut ke seluruh badan Muhammad Hazreel Mikail setiap kali selepas mandi.

“Dengan gaji saya sebagai kerani hotel dan suami tukang masak restoran, memang agak terbeban sedangkan dua anak lagi masih bersekolah.

“Nasihat doktor yang minta kami ke Hospital Selayang, Selangor untuk menjalani rawatan dan pembedahan terpaksa dilupakan kerana tidak berkemampuan untuk tampung kos termasuk ulang-alik ke sana,” katanya.

Jelas Noor Halimaton, akibat penyakit dihidapi anaknya itu, dia akan mengawal pemakanan Muhammad Hazreel Mikail agar tidak makan makanan yang gatal.

“Saya banyak tinjau ke merata farmasi dan kalau terjumpa barangan yang diperlukan pada harga lebih rendah saya akan beli kerana nak beli untuk stok sebulan dengan semua yang diperlukan memang tak mampu,” katanya.

Bagi yang ingin membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Public Bank Halimaton Hashim (4525811409).

Sinar Harian 2 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment