February 16, 2016

Cari lembu jumpa mayat

MAYAT lelaki dengan kesan kelar di leher ditemui di kebun kelapa sawit.

Kajang: Lembu peliharaan yang dicari, namun mayat seorang lelaki dibunuh kejam ditemui seorang pengembala di dalam kawasan kebun kelapa sawit di Sungai Tangkas di sini.

Dalam kejadian jam 3.35 petang Jumaat lalu, mayat mangsa dipercayai warga asing ditemui mati dengan kesan kelar di leher dan luka di kepala.

Difahamkan, mayat dipercayai sudah meninggal dunia sejak lebih tiga hari berikutan keadaan mayatnya yang mula membengkak.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, siasatan polis di lokasi kejadian tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri milik mangsa.

“Pemeriksaan ke atas mayat mangsa turut tidak menemui kesan suntikan Bacillus Calmette-Guerin (BCG).

“Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan pihak kami sedang menunggu keputusan cap jari mangsa untuk mengetahui identitinya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga percaya mangsa dibunuh di lokasi kejadian berdasarkan penemuan banyak kesan darah berhampiran mayat yang mati akibat dikelar.

“Lokasi antara jalan utama ke kawasan kebun sawit itu dianggarkan sejauh 1.5 kilometer.

“Setakat ini, pihak kami akan berusaha mengesan pemilik kebun sawit berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

myMetro 16 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment