January 18, 2016

Hujan iringi pemergian Tunku Alif

Tuanku Muhriz bersama Tuanku Aishah Rohani ketika bacaan talkin di Makam Diraja Seri Menanti, Kuala Pilah, semalam.

Seremban: Hujan sejak petang semalam mengiringi pemergian anakanda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin Tuanku Muhriz yang mangkat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kuala Lumpur, semalam.

Tunku Alif, 32, anak bongsu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir disahkan meninggal dunia jam 11.55 pagi selepas sekian lama dimasukkan ke wad hospital berkenaan.

Atas sebab kesihatan dialami baginda, beberapa acara sempena sambutan Hari Keputeraan Ayahanda baginda Tuanku Muhriz yang ke-68 ditangguh dan dibatalkan.

Baginda mangkat sehari selepas Hari Keputeraan Ayahandanya, kelmarin.

Istiadat pemakaman dibuat secara tertutup disaksikan Tuanku Muhriz dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Bacaan talkin dan tahlil dikendalikan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad dan Eksekutif Masjid Diraja Seri Menanti Abd Rahman Ibrahim.

Tunku Alif diputerakan pada 3 September 1984, adalah putera ketiga dan anakanda bongsu pasangan Tuanku Muhriz serta Tuanku Aishah Rohani.

Tidak lama selepas keputeraan, baginda dikategorikan insan istimewa yang berkemungkinan besar hilang upaya.

Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah mengambil keputusan membawanya ke Institut Pencapaian Potensi Manusia, sebuah pusat pakar di Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) untuk meninjau kaedah rawatan.

Satu rutin latihan dan program pendidikan direka khusus bagi membantu perkembangan minda dan fizikal Tunku Alif dan usaha ini mendapat sokongan ahli keluarga diraja.

Ia dilakukan secara sukarela dan dedikasi bagi meluangkan masa mereka membantu Tunku Alif dalam aktiviti fizikal dan mental untuk merangsang perkembangan baginda.

Terdahulu, lebih 1,000 orang termasuk kerabat diraja dan orang kenamaan menghadiri upacara pemakaman Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin Tunku Muhriz yang selamat disemadikan di Makam Diraja, Seri Menanti, pada jam 6.40 petang.

Sebelum itu, jenazah Tunku Aliff dibawa menaiki van Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tiba di Istana Besar Seri Menanti pada jam 3.55 petang.

Hadir pada majlis pengebumian baginda adalah dua kekandanya Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-Abidin.

Kedua-dua kekandanya kelihatan sebak dan sesekali mengesat air mata sepanjang upacara pemakaman jenazah almarhum.

Almarhum disemadikan di sebelah makam nendanya Almarhumah Tunku Duratunafisah Azibah Tunku Besar Burhanuddin.

Turut hadir, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumuddin serta beberapa pemimpin negeri.

myMetro 16 Jan 2016





0 comments:

Post a Comment