December 7, 2015

Budak ditemui lemas

MAYAT mangsa ditemui di dasar sungai. FOTO Mohammad Ishak

Jertih: Kanak-kanak lelaki lembam berusia sembilan tahun ditemui lemas di Sungai Tok Raja, Jertih, pagi tadi.

Mangsa, Tuan Mohamad Zakuan Tengku Zabarnus dijumpai oleh penduduk kampung di dasar sungai terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira 10 pagi ketika mangsa bersama lima rakan lain pergi ke sungai berkenaan untuk mencari etak.

Bapa mangsa, Tengku Zabarnus Tuan Mat, 41, berkata, arwah anaknya sebelum ini tidak pernah pergi ke sungai berkenaan.

"Saya diberitahu, sebelum kejadian arwah mandi bersama rakannya. Dia dikatakan berada di atas sebatang kayu dan terjun ke dalam sungai sebelum lemas," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

myMetro 6 Disember 2015


Budak OKU lemas ketika cari etak

BESUT - Keriangan seorang kanak-kanak lelaki OKU yang mahu mencari etak di Sungai Besut, Kampung Tok Raja, Jertih di sini berakhir tragedi apabila dia ditemui lemas pagi semalam.

Tuan Muhammad Zakwan Tengku Zabarnus, 8, ditemui di dasar sungai oleh penduduk kira-kira 11.15 pagi semalam selepas dia keluar bersama ibu saudara, tiga adiknya dan seorang rakan untuk mencari etak di sungai itu kira-kira jam 10 pagi.

Mangsa adalah murid kelas program pendidikan khas integrasi (PPKI) sekolah kebangsaan Alor lintah yang juga OKU lembam serta cacat di bahagian tangan.

Bapa mangsa, Tengku Zabarnus Tuan Mat, 41, berkata, mangsa bersama ibu saudara, Noraini Mustafa, 40-an, yang juga mengalami masalah mental serta adiknya masing-masing berusia 4, 5 dan 7 tahun dan rakan, Nurin Jazlina

Hassan, 8, pergi ke sungai itu tanpa pengetahuan sesiapa.

Menurutnya, ketika kejadian dia keluar berdakwah di Kampung Anak Ikan, Jabi sementara isterinya (ibu mangsa) menjaga anak bongsu mereka berusia 2 bulan di Kampung Gong Tok Tor, kira-kira 1.5 kilometer dari tempat kejadian.

“Mereka dikatakan keluar mencari etak di situ dan sebelum ini anak saya tidak pernah mencari etak. Saya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu dan terus bergegas pulang,” katanya.

Sementara itu, menurut Nurin Jazlina, kejadian berlaku ketika rakannya sedang mandi di sungai itu sebelum mahu mencari etak di situ.

Katanya, mangsa mandi kemudian naik atas kayu di tebing sungai sebelum terjun semula ke dalam sungai, namun dia dilihat tenggelam timbul sambil melambai tangan seperti meminta tolong.

“Dua adik arwah cuba membantu abang mereka, tetapi saya menarik mereka kerana saya takut mereka juga lemas,” katanya.

Ketua Polis Besut, Superintendan Khaled Che Lah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasi kes tersebut sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat dan punca kematian disahkan kerana lemas.

Sinar Harian 7 Dis 2015


0 comments:

Post a Comment