November 14, 2015

Pemandu nyaris maut kereta terbakar

Kereta yang terbakar awal pagi tadi. FOTO Nabihah Kamal

Nasib baik segera dikeluarkan

Kuala Lumpur: Seorang lelaki terselamat daripada rentung selepas pengguna jalan raya lain segera membawanya keluar dari kereta dipandu yang terbabit kemalangan di Jalan Kinabalu, menghala Kepong, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 2.45 pagi itu, mangsa yang berusia 30-an hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Mangsa cedera di badan serta hidung dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dirawat.

D G Suduneran, 25, berkata, dia memberhentikan kereta di bahu jalan selepas melihat kemalangan itu.

“Saya terus ke kereta mangsa dan melihat keadaannya. Saya melihat percikan api dari bawah kereta sebelum segera mengeluarkannya dari dalam kereta.

“Selepas mengeluarkan mangsa dan berada di tempat selamat, api semakin marak dan berlaku letupan beberapa minit kemudian,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, petang tadi.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kuala Lumpur Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.57 pagi dan ke tempat kejadian dengan kekuatan sembilan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah.

Katanya, api dipadamkan dalam tempoh 10 minit.

myMetro 13 November 2015

0 comments:

Post a Comment