November 30, 2015

Paip sedut rakan

ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat Jason dari loji air.

Papar: Usaha tiga lelaki menyelamatkan rakan mereka yang disedut tekanan air ketika membaiki batang paip yang rosak di loji di Bukit Melinsung di Jalan Papar Baru di sini, jam 8.30 malam kelmarin gagal menyebabkan mangsa mati lemas.

Mangsa, Jason Impas, 23, berasal dari Kampung Ramayah, Penampang kemudiannya dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Geogre Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa bersama tiga rakannya melakukan kerja membaiki batang paip bersaiz 18.4 sentimeter di loji berkenaan.

“Selepas menggali tanah sedalam 1.2 meter di lokasi berkenaan, mangsa memasang alat penyambungan batang paip. Bagaimanapun, kaki kanan mangsa disedut masuk ke dalam satu daripada batang paip dipercayai akibat tekanan air daripada dalam batang paip berkenaan.

“Pada masa sama, air paip dari loji itu mengalir deras melalui paip yang mangsa baiki menyebabkan lubang digali dipenuhi air,” katanya.

Menurut Geogre, pada masa sama, mangsa sukar menyelamatkan diri kerana kakinya tersangkut di dalam batang paip terbabit.

Melihat kejadian, ketiga-tiga rakan mangsa cuba menariknya keluar daripada lubang berkenaan.

“Bagaimanapun, mereka gagal menyebabkan mangsa terperangkap dan lemas. Anggota bomba dihubungi kemudiannya membantu mengeluarkan mangsa.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Papar dan pihak hospital mengesahkan dia mati akibat lemas. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah dalam kejadian terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua BBP Papar Dunstan Peter berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.30 malam dan tiba di lokasi kejadian 15 minit kemudian.

myMetro 30 November 2015


Mati disedut air loji


ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa selepas lemas disedut tekanan air ketika melakukan kerja pembaikan paip loji dekat Jalan Papar kelmarin.

PAPAR – Seorang pekerja penyambungan paip mati lemas setelah disedut oleh tekanan air ketika membaiki batang paip di loji atas bukit Melinsung di Jalan Papar dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, mangsa dikenali Jason Impas, 23.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Geogre Abd Rakman berkata, sebelum kejadian mangsa bersama tiga rakannya sedang melakukan kerja pembaikan paip sebesar 18.4 sentimeter di loji berkenaan.

Katanya, kaki kanan mangsa secara tiba-tiba telah termasuk ke dalam batang paip dipercayai disedut tekanan air setelah mengali tanah sedalam hampir 1.2 meter.

“Serentak dengan itu, air paip dari loji tersebut telah melimpah dengan deras menyebabkan lubang yang digali mangsa dipenuhi air.

“Mangsa cuba diselamatkan oleh tiga rakannya namun gagal berikutan kaki kanan mangsa yang tersangkut dalam batang paip berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kosmo 30 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment