November 17, 2015

Menangis lihat klip video 
anak dibuli


Ibu maafkan murid terlibat

BESUT 16 Nov. - Seorang ibu, Norhayati Mohd. Jusoh, 48, dari Kampung Panchor, Hulu Besut, terkedu dan tidak dapat menahan hiba apabila melihat anak bongsunya merayu dalam kesakitan tetapi terus dibuli oleh rakan-rakan sedarjahnya.

Dia tidak menyangka rakan-rakan sekampung, dalam usia yang masih muda tergamak berbuat demikian tanpa menunjukkan sebarang belas kasihan.

“Saya menangis, malah beberapa guru dan ibu bapa yang turut menyaksikan tayangan video turut menangis melihat nasib Mohamad Hakimi Mohd. Hanafi, 12,” katanya yang menyaksikan klip video kejadian buli itu bersama ibu bapa murid Sekolah Kebangsaan Panchor yang terbabit dalam kes buli.

Difahamkan, klip video yang kini menjadi viral dalam laman sosial itu ditayangkan oleh pihak sekolah kelmarin bagi menunjukkan kepada ibu bapa tujuh murid yang bertindak membuli Mohamad Hakimi di surau sekolah.

Norhayati berkata, sebelum ini dia tidak mengetahui anak bongsu daripada tujuh beradik itu dibuli oleh rakan sedarjah dan hanya menyedarinya selepas dipertontonkan video berkenaan yang dipercayai berlaku pada pertengahan bulan lalu.

“Saya masih ingat pertengahan bulan lalu anak saya kelihatan tidak bermaya dan pucat sekembali dari sekolah, tetapi ketika ditanya hanya menjawab dia terjatuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad Hakimi kini tidak berada di rumah kerana bersama ayahnya, Mohd Hanafi Majid, 53, di Kuala Lumpur semalam untuk menenangkan fikiran disebabkan masih dalam keadaan trauma.

Berikutan itu, katanya, prestasi pelajaran anaknya semakin menurun dan tidak berminat untuk ke sekolah, mungkin disebabkan takut kepada rakan-rakan yang pernah membulinya.

Wanita itu berkata, Mohamad Hakimi murid pintar dalam Matematik sering mendapat A dalam peperiksaan tetapi sejak kejadian itu keputusannya merosot kepada C.

“Keluarga saya tidak berdendam dengan kejadian itu sebaliknya memaafkan semua mereka yang melakukannya termasuk ibu bapa murid terbabit,” katanya.

Menurut Norhayati, di­sebabkan tinggal sekampung dan kenal rapat dengan ibu bapa murid terbabit, dia tidak mahu sengketa dan menganggap kejadian itu satu dugaan dalam kehidupan.

Utusan 16 Nov 2015


Laporan siasatan kes buli dalam dua minggu

PETIKAN daripada video yang menjadi viral di laman sosial.

Kuala Terengganu: Jabatan Pendidikan negeri diberi tempoh dua minggu untuk mengemukakan laporan hasil siasatan kes buli yang berlaku di sekolah rendah di Jertih.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas, Ghazali Taib berkata, hasil laporan perlu dikemukakan kepadanya sebelum tindakan ke atas enam murid yang dikatakan membuli mangsa diambil.

"Berdasarkan video berdurasi lebih enam minit seperti diviralkan melalui laman sosial, saya lihat berkemungkinan wujud unsur gurauan kerana daripada maklumat yang diterima, murid-murid yang membuli dan yang menjadi mangsa adalah rakan sekampung dan tidak mempunyai persengketaan sebelum ini.

"Selain itu, tubuh mangsa pula lebih besar daripada pembuli namun, dia tidak melawan selain kejadian berlaku di ruang terbuka.

"Jadi saya mahu pegawai pendidikan negeri, daerah, guru besar dan masyarakat yang terbabit melihat perkara ini secara jelas sebelum sebarang hukuman dibuat.

"Jika betul kes itu ada kaitan dengan buli, tindakan juga perlu dikenakan ke atas guru kerana tiada pemantauan sedangkan kejadian itu berlaku di tempat terbuka," katanya ketika ditemui pada Majlis pengumuman keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), di sini, hari ini.

myMetro 17 November 2015



0 comments:

Post a Comment