November 14, 2015

Kepala dijahit, Adam perlu dana rawatan susulan


Keadaan Adam Haikal sejurus selepas pembedahan dilakukan. Gambar kecil: Keadaan kepala Adam Haikal yang dibedah.

IPOH - Seorang bapa memohon bantuan orang ramai bagi membantu rawatan anaknya, Muhammad Adam Haikal Mohd Hisham, 8, yang disahkan mengalami pendarahan dalam kepala akibat terjatuh ketika bermain dengan adiknya di rumah pengasuh mereka 17 September lalu.

Menurut bapanya, Mohd Hisham Ishak, 36, dia menerima panggilan telefon daripada pengasuh berkenaan sekitar 4 petang, 17 September lalu yang mengatakan Muhammad Adam Haikal mengalami muntah-muntah dan pening setelah terjatuh ketika bermain dengan adiknya sebelum itu.

Justeru katanya, dia membawa Muhammad Adam ke sebuah klinik di Silibin bagi mendapatkan rawatan, namun terkejut apabila doktor memaklumkan anaknya itu mengalami pendarahan di kepala dan perlu dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Esokanya, saya bawa anak ke hospital (unit kecemasan) dan setelah pemeriksaan di unit CT Scan, pakar mengesahkan memang berlaku pendarahan di kepala anak saya.

“Anak saya kemudian dibedah dan dimasukkan ke wad selama tujuh hari dan pada 29 September dia lagi dimasukkan ke wad dan ditempatkan di unit MRI selama sembilan hari pula.

“Saya juga sudah buat laporan polis agar perkara ini dapat dirujuk kepada pengetahuan pihak insurans sekolah,” katanya lagi.

Difahamkan pada 12 November (hari ini), Adam Haikal akan sekali lagi mendapat rawatan ‘celebral angiogram” di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berdasarkan kepada rawatan susulan kali ketiga pada 25 Ogos lalu dan mendapati lima peratus darah beku masih ada di saraf otak dan pembedahan akan dibuat bagi penggantian tempurung kepala yang dibedah.

Rawatan kali keempat pula akan dijalankan pada 2 Disember di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Ketua Pusat Khidmat Dan Aduan BN Perak, Mohd. Rawi Abdullah sempat meluangkan masa menziarahi keluarga dan  dan hadir bersama bekas Ketua Pemuda Umno Cawangan Manong, Abdullah Ahmad yang menghulur sumbangan berbentuk wang tunai RM2000 bagi meringankan beban keluarga ini.

Untuk makluman, sepanjang rawatan, Adam Haikal sudah menerima sebanyak 34 jahitan dan sering mengalami pendarahan di hidung dan mulut.

Kes yang menimpa kanak-kanak ini turut mendapat perhatian daripada Ketua Pusat Khidmat dan Aduan BN Negeri, Mohd Rawi Abdullah yang sempat meluangkan masa menziarahi Adam Haikal di rumahnya baru-baru ini.

Pada kunjungan berkenaan, Mohd Rawi turut menghulur sumbangan RM2,000 bagi membantu meringankan sedikit beban ditanggung Adam Haikal dan keluarganya.

Orang ramai yang ingin membantu Adam Haikal boleh  menyalurkan sumbangan ke akaun bank bapanya, Hisham Ishak, 158220720691 (Maybank) atau ke 0810041000437633 (BSN), atau menghubunginya di talian 012-5250677 atau 013-5023030 untuk sebarang keterangan lanjut.

Sinar Harian 13 Nov 2015

0 comments:

Post a Comment