November 5, 2015

'Imam pula dah meninggal'


Pasir Gudang: “Mereka anak saya yang sah, malangnya saya gagal mendapatkan sijil pengesahan nikah di Sabah menyebabkan enam daripada tujuh anak saya tiada sijil lahir,’ kata Raiduan Haibatul, 34, yang kini merayu bantuan pihak berkaitan bagi mengatasi masalah itu.

Raiduan berkata, disebabkan gagal mendapatkan sijil pengesahan nikah, empat anaknya terpaksa melupakan impian bersekolah kerana tidak mempunyai sijil lahir.

Perkongsian hidup Raiduan dengan isteri, Aminah Sahidin, 33, dikurniakan tujuh cahaya mata iaitu Razmin, 11, Mohd Yasir, 10, Fazira, 9, Mohd Azimil, 8, Mohd Aiman, 6, Mohd Azlan, 4 dan Nur Alisah Amira yang berusia tujuh bulan.

Menurut Raiduan, bagi mengelak semua anaknya di-bin’ dan di-bintikan Abdullah seperti anak sulung, dia dan isteri menangguh proses daftar kelahiran anak.

“Isteri pernah ke Sabah mendapatkan sijil pengesahan pernikahan kami beberapa tahun lalu, namun prosesnya sulit apabila imam yang mengendalikan pernikahan kami meninggal dunia.

“Berikutan masalah kewangan, saya menangguh hasrat pulang ke Sabah menyebabkan pendaftaran kelahiran anak tergendala sehingga hari ini,” katanya.

Raiduan berkata, lebih malang apabila dia kehilangan pendapatan selepas kontraknya dengan syarikat perkapalan tamat sejak dua bulan lalu menyebabkan Fazira dan Mohd Azimil terpaksa menjual nasi lemak dari rumah ke rumah setiap hari.

“Saya mengambil upah membantu rakan berniaga dan ia tidak cukup menampung kehidupan kami sembilan beranak menyebabkan isteri membuat nasi lemak dan dijual dua anak yang tidak bersekolah,” katanya yang tinggal di rumah adik iparnya di Flat Taman Masai Utama, di sini.

Kelmarin, keluarga itu menerima kunjungan daripada wakil Ahli Parlimen Pasir Gudang, Lailawati A Ghani yang menyampaikan wang tunai dan barangan dapur.

Laila berkata, pihaknya akan memantau keluarga itu bagi memastikan masalah dokumen kelahiran anak mereka selesai dalam tempoh masa terdekat.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya ketika dihubungi Harian Metro berkata, Raiduan boleh mendaftar kelahiran anaknya di mana-mana pejabat jabatan dengan membawa dokumen kelahiran dari hospital untuk mendaftar lewat.

myMetro 5 November 2015

0 comments:

Post a Comment