November 28, 2015

2 rakan karib 'pergi' bersama

ANGGOTA polis mengangkat dua mayat warga emas dijumpai mati di sebuah pusat jagaan di Jalan Laksamana Cheng Ho, Melaka.

Melaka: Dua wanita yang juga rakan karib menghuni Pusat Jagaan Kasih Sayang Prasanna, Jalan Laksamana Cheng Ho, di sini, ditemui meninggal dunia oleh penyelia pusat jagaan itu pagi semalam.

Difahamkan dalam kejadian jam 6.30 pagi, Gan Ah Poh, 56 dan Ng Ah Ting, 53, ditemui tidak sedarkan diri di tingkat dua premis berkenaan oleh penyelia pusat jagaan terbabit ketika melakukan pemeriksaan rutin.

Penyelia pusat jagaan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Raj 30-an, berkata, ketika pemeriksaan dilakukan dia mengesyaki ada perkara tidak kena berikutan pintu bilik stor di tingkat dua bangunan itu separuh terbuka.

“Saya ke ruang terbabit untuk melakukan pemeriksaan sebelum melihat Ah Pong tertonggeng, selain mendapati ada kesan darah pada lantai.

“Saya mendekati mayat mangsa dan mendapati bahagia kening wanita itu tertusuk skru peralatan senaman di bilik berkenaan,” katanya ketika ditemui di pusat jagaan terbabit.

Raj berkata, cemas dengan keadaan itu, dia mengarahkan empat lagi penjaga pusat itu membantu mengejutkan 30 penghuni sambil menghubungi polis dan pihak hospital.

Namun ketika mengejutkan penghuni dia mendapati Ah Ting yang ketika itu tidur di ruang tamu di tingkat dua tidak memberikan tindak balas ketika diminta untuk bangun.

“Ketika ditemui tubuh wanita itu kaku, pemeriksaan dilakukan pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat kedua-dua mangsa pada jam 7 pagi.

“Siasatan awal mendapati seorang daripada wanita itu terjatuh manakala rakannya dipercayai diserang sawan sebelum meninggal dunia, mayat kedua-duanya mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

“Kami masih menunggu laporan bedah siasat daripada hospital. Siasatan awal mendapati kematian mangsa tidak mempunyai kaitan dengan unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut(SDR),” katanya.

myMetro 27 November 2015



0 comments:

Post a Comment