September 15, 2015

‘Kami tak ada RM70,000’


AZRAHANI dan suaminya Ahmad Hasni bersama anak mereka yang menghidap penyakit Atresia Pulmonari di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang.

Kuala Lumpur: “Sebagai ibu, selagi ada jalan, saya akan usahakan yang terbaik dan bersetuju anak saya menjalani pembedahan kerana percaya kalau dah memang rezeki dia, pasti ada peluang hidup kali kedua.

“Namun, apa yang merunsingkan ialah kami tak ada duit RM70,000 untuk membiayai pembedahan ini serta memerlukan bantuan dan sokongan orang ramai,” itu luahan Azrahani Kasmani, 32, ibu kepada Darwisyah Saffiyah Ahmad berusia tiga tahun yang menghidap masalah jantung kompleks sejak lahir.

Ibu kepada dua anak itu berkata, dia pernah meninggalkan kerjaya sebagai eksekutif akaun tiga tahun lalu berikutan ingin memberi tumpuan menjaga Darwisyah Saffiyah akibat kesihatannya tidak menentu.

“Hampir setahun lebih, kami sekeluarga ‘berkampung’ di Hospital Ampang. Raya pun seperti tidak ada apa-apa melainkan untuk memastikan keadaan Darwisyah Saffiyah stabil.

“Kalau buat pembedahan risikonya tinggi sama ada akan normal macam orang lain atau nyawanya terancam, tapi kalau tak buat pembedahan anak saya akan merana keluar masuk hospital macam sekarang,” katanya.

Darwisyah Saffiyah antara empat kanak-kanak yang menghidap pelbagai masalah berkaitan jantung, namun masih memerlukan bantuan kewangan bagi menjalani pembedahan masing-masing di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.

Masalah turut dikongsikan Juliyana Bachtiar, 32, yang mengakui kerap berendam air mata berikutan tidak sanggup melihat penderitaan anak bongsunya, Muhammad Alif Danial Mohd Faisal, berusia setahun tujuh bulan yang menghidap masalah saluran darah hingga menyukarkan oksigen dipam ke jantung.

JR Jaya, 27, ibu kepada G Tarakeshwar berusia setahun enam bulan yang menghidap masalah saluran darah pada jantung tidak normal pula menyimpan harapan tinggi anak tunggalnya akan sembuh selepas menjalani pembedahan kali kedua.

“Dia satu-satunya permata saya dan suami dan cucu pertama keluarga kami. Mula-mula apabila tahu anak sakit, saya tak boleh terima dan sedih kerana selepas tiga tahun berusaha baru saya dan suami dikurniakan anak.

“Namun, sekarang saya bersyukur masih dapat melihat dia bernafas dan berharap dia akan terus hidup dengan kesihatan yang bertambah baik selepas pembedahan ini,” katanya.

Chong Then Keong, 45, pula berterima kasih kepada ahli perniagaan Tan Sri Robert Phang yang sudi menaja kos pembedahan anaknya Chong Siaw Sun, 11, sebanyak RM18,000 bagi membetulkan saluran darah jantung yang tidak normal.

“Pembedahan ini penting, kalau tidak anak saya tak boleh hidup melebihi 18 tahun. Saya harap pembedahan berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, Robert turut mengajak orang ramai yang berkemampuan menyalurkan bantuan bagi menyelamatkan nyawa kanak-kanak senasib Chong.

Darwisyah Saffiyah memerlukan 70,000, Muhammad Alif Danial pula RM50,000 manakala Tarakeshwar ialah RM60,000 sementara Chong walaupun kos pembedahannya dibiayai masih juga memerlukan sejumlah dana untuk caj rawatan susulan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi cek atas nama Media Prima-NSTP Humanitarian Fund dengan menulis nama pesakit di belakang cek dan hantar ke Jabatan Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau menghubungi talian 03-27248977 atau 019-3378350.

myMetro 15 September 2015


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/77671#sthash.TSJlwMER.dpuf

0 comments:

Post a Comment