April 21, 2015

Tak jadi memancing selepas jumpa mayat

MENGEJUTKAN: Mayat tanpa identiti ditemui di tebing sungai berhampiran Kampung Tembirat.

KOTA SAMARAHAN: Hasrat dua sekawan untuk memancing di Batang Samarahan berhampiran Kampung Tembirat, di sini terbantut apabila terjumpa mayat yang berada dalam keadaan tertiarap, semalam.

Menurut lelaki yang hanya dikenali sebagai Jabu, mayat itu ditemui oleh rakannya yang tiba lebih awal di lokasi iaitu sekitar jam 9 pagi selepas terhidu bau busuk.

Mereka kemudiannya menghubungi pihak bomba dan polis untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Samarahan DSP Lee Chong Chern yang mengesahkan kes itu berkata, mayat itu ditemui dalam keadaan 40 peratus reput manakala bahagian kepala tinggal tengkorak dan anak jari kaki serta kaki tinggal tulang.

Identiti mayat itu bagaimanapun belum diketahui setakat ini, katanya sambil menambah, terdapat tatu tulisan Thailand pada badan mangsa.

“Semakan di balai mendapati tiada laporan orang hilang dan kemungkinan besar mayat berkenaan dihanyutkan arus ke tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.

Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut setakat ini sementara menunggu siasatan lanjut.

Utusan Borneo 9 Feb 2015

0 comments:

Post a Comment