April 17, 2015

Misteri bau busuk terjawab

KLUANG - Bau busuk yang disangka bangkai haiwan rupanya adalah mayat seorang warga emas yang ditemui di sebuah rumah di Taman Bertuah Satu, di sini, semalam.

Mangsa, Wong King Kong, 72, yang tinggal berseorangan di rumah itu ditemui mati di ruang tamu dalam keadaan duduk di kerusi dipercayai akibat serangan jantung.

Jirannya, Mohamad Ayub, 49, berkata, dia terhidu bau busuk dari rumah jirannya itu dan tidak menyangka ia mayat warga emas tersebut yang hampir reput dipercayai mati lebih tiga hari.

“Jiran saya tinggal seorang, anak-anaknya pula semua tinggal luar kawasan dan ada yang kerja di Singapura, menyebabkan mereka jarang balik jenguk bapa mereka.

“Pagi tadi (semalam) saya tergerak hati untuk melihat keadaan jiran saya ini apabila terbau busuk, tapi saya tak boleh masuk kerana rumahnya berkunci.

“Lagipun saya sudah lama tak nampak dia keluar makan, selalunya dia keluar, kadang kala ada juga saya berbual dengan dia tapi tak selalulah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Roze Shaari berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut kira-kira jam 9.30 pagi sebelum menghantar sepasukan pegawai dan anggota untuk menyiasat kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba di rumah mangsa, pihak polis mendapati pintu pagar serta pintu utama rumah berkunci rapat sebelum memanggil pasukan Bomba dan Penyelamat Kluang untuk memotong pagar dan kunci rumah tersebut.

”Sebaik berjaya dibuka, anggota bertugas menemui satu mayat yang sedang duduk di kerusi dalam keadaan hampir reput sebelum dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang untuk bedah siasat.

“Kami dapati tiada unsur jenayah ditemui dan kematian warga emas ini dikategorikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 April 2015

0 comments:

Post a Comment