April 21, 2015

Dua terbunuh, lori kargo jatuh gaung


Anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

NGERI: Anggota bomba berusaha mengeluarkan kedua-dua mayat mangsa yang tersepit di dalam lori terbabit.

BINTULU: Dua maut setelah lori kargo sarat muatan baja terjunam ke dalam gaung dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 41, Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri pada jam 10.20 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bintulu Suprintenden Abdul Razak Mohammad berkata dua mangsa tersebut ialah pemandu lori, Mathew Jangkang, 25, dari Batu 5, Jalan KJD Bintangor dan kelindannya, Andrew Marupoh Rawing, 21, dari Sungai Sejugam, Julau.

Semasa kejadian, lori terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Bintulu ke Miri.

“Sejurus menerima panggilan, polis segera bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan serta menyelamatkan mangsa,” jelas beliau.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan mungkin berpunca daripada pemandu gagal mengawal lorinya lalu terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung.

“Insiden itu mengakibatkan pemandu lori dan kelindannya tersepit di dalam lori dan kedua-duanya maut kerana kecederaan teruk di bahagian kepala dan badan,” jelasnya.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju mengambil masa kira-kira dua jam setengah untuk mengeluarkan kedua-dua mayat mangsa yang kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu bagi pemeriksaan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Utusan Borneo 15 April 2015

0 comments:

Post a Comment