April 20, 2015

Bayar hutang dengan nyawa

Bintulu: Angkara hutang, seorang pekerja kilang warga Indonesia maut di tangan rakan sendiri selepas ditikam menggunakan badik dalam kejadian di Sungai Kim Nyigu, Kemena, di sini, kelmarin.

Mangsa Surahman Lasaile, 20-an, ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tikaman hampir keseluruhan badan sebelum dibawa rakannya yang lain ke Hospital Bintulu untuk menerima rawatan jam 6 petang.

Sumber berkata, polis menerima panggilan daripada kakitangan Hospital Bintulu memaklumkan seorang lelaki dalam keadaan parah dan sudah meninggal dunia.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 5.30 petang hari kejadian dengan mangsa dipercayai ditikam rakannya sendiri dikenali sebagai Risman Abas berdekatan kilang tempat mereka bekerja.

“Suspek dikatakan berang selepas mangsa meminjam RM300 namun tidak menjelaskannya. Walaupun sudah beberapa kali menuntut, mangsa didakwa tidak mengendahkan selain memberi pelbagai alasan menyebabkan suspek naik angin lalu menikamnya beberapa kali,” katanya.

Katanya, suspek akhirnya ditahan pekerja kilang berkenaan sebelum diserahkan kepada polis pada hari sama.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.

myMetro 5 Apr 2015

0 comments:

Post a Comment