April 21, 2015

‘Apek’ ditemui mati dalam bilik sewa

KUCHING: Seorang lelaki warga emas ditemui mati di bilik sewa di sebuah rumah kedai di Jalan Market, Padungan, di sini petang semalam.

Mangsa iaitu Ko Jun Kwang berusia 76 tahun ditemui terbaring kaku di atas katil sekitar jam 3 petang oleh jirannya, yang risau selepas tidak melihat mangsa sejak awal pagi semalam.

Difahamkan, mangsa dikenali dengan panggilan ‘Apek’ menetap di bilik sewa tersebut sejak tahun lepas.

“Jiran mangsa yang risau keadaan mangsa pergi memeriksanya di biliknya. Tetapi selepas berkali-kali memanggil mangsa dan tiada jawapan, jiran mendapatkan bantuan rakan membuka pintu bilik tersebut.

“Sebaik sahaja pintu dibuka, jiran itu menghampiri mangsa yang baring di atas katil dan mendapati mangsa kaku dan sudah tidak bernafas,”kata sumber.

Laporan polis berhubung kejadian terus dibuat oleh jirannya dan beberapa anggota paramedik telah dikerah ke tempat kejadian mengesahkan keadaan mangsa.

Siasatan polis di tempat kejadian telah dibuat sebelum mayat mangsa dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat.

Difahamkan, mangsa berasal dari China namun memiliki taraf pemastautin tetap dan sudah berkahwin dengan wanita tempatan serta mempunyai seorang anak.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.

Utusan Borneo 19 Apr 2015

0 comments:

Post a Comment