April 20, 2015

108 meninggal akibat denggi

Kuala Lumpur: Sebanyak 108 kematian akibat denggi dicatatkan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini dengan Selangor adalah negeri tertinggi membabitkan 54 kematian iaitu peningkatan 74 peratus berbanding tempoh sama pada 2014.

Berdasarkan statistik disiarkan di Facebook (FB) Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan, sepanjang tempoh sama juga sebanyak 34,144 kes demam denggi dilaporkan berbanding 25,098 pada 2014.

Selangor mencatatkan negeri tertinggi kes denggi iaitu 20,074 direkodkan berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak 14,030 kes.

Perak mencatatkan negeri kedua tertinggi denggi 3,760 kes dengan 10 kematian direkodkan diikuti Johor (1,880 kes dengan empat kematian), Kuala Lumpur dan Putrajaya (1,863 kes dengan 13 kematian), Pulau Pinang (1,455 kes dengan lima kematian) dan Sabah (1,104 kes dengan empat kematian).

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam dalam satu kenyataan berkata, kes denggi di seluruh negara menurun dengan ketara sejak pertengahan Februari lalu dengan jumlah kes dilaporkan berkurangan setiap minggu iaitu 3,500 kes seminggu pada Januari kepada 1,600 pada awal April.

“Bagi tempoh 29 Mac hingga 4 April lalu, sebanyak 1,609 kes dilaporkan berbanding 1,645 kes pada minggu sebelumnya iaitu penurunan sebanyak dua peratus atau 36 kes.

“Jumlah lokaliti wabak juga berkurangan daripada 1,131 pada akhir Januari lalu kepada hanya 615 pada awal April iaitu pengurangan sebanyak 46 peratus manakala jumlah lokasi panas juga berkurang daripada 248 kepada 139 pada awal April,” katanya.

Menurutnya, pengurangan purata kes mingguan denggi melebihi 50 peratus adalah kejayaan tindakan bersepadu Kementerian Kesihatan dengan pelbagai agensi.

myMetro 13 Apr 2015

0 comments:

Post a Comment