March 28, 2015

Pemandu JKR maut, tiga parah kemalangan

GUA MUSANG - Seorang pemandu Jabatan Kerja Raya (JKR) Kesedar Gua Musang, maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda dan lori di KM56 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, dalam kejadian pada 2.30 petang itu, Che Noh Ab Rahman, 48, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Tiga yang parah terdiri daripada penumpang kenderaan pacuan empat roda iaitu Wan Jusoh Wan Ali, 51, Kamarudin Md Seman, 54 dan Zulkifli Baharun, 48, katanya di sini hari ini.

Menurut Saiful Bahri ketika kejadian, lori dari tanah Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir menghala ke Kuala Krai itu terbabas dalam keadaan hujan lebat sebelum berpusing memasuki laluan bertentangan.

“Akibat itu, pacuan empat roda yang dalam perjalanan dari Tanah Merah ke Gua Musang melanggar bahagian belakang lori berkenaan.

"Che Noh yang tinggal di Kuarters JKR Kesedar di Taman Putra tersepit di tempat duduk dalam kenderaan yang remuk bersama tiga penumpang lain. Beliau meninggal dunia sejam selepas kemalangan tersebut di Klinik Chiku 3," katanya.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Takil  Dalam, Labok, Machang hari ini.

Saiful Bahri berkata, ketiga-tiga mangsa yang parah itu dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di HGM dan Hospital Kuala Krai (HKK).

Sementara pemandu lori, Nurazizie Mohamad, 38, berasal dari Kampung Bukit, Machang dan kelindanya, Zamri Mustafa, 48, dari Kampung Tendong, Pasir Mas  hanya cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Chiku 3. - Bernama

27 Mac 2015

0 comments:

Post a Comment