February 25, 2015

Riwayat dua penyamun berakhir

Ipoh: Dua lelaki yang juga suspek utama kes samun dan tembak seorang pegawai bank serta rakannya yang juga ejen insurans di Taman Soong Choon di sini, Jumaat lalu, ditembak mati oleh anggota polis dalam kejadian berbalas tembakan di kawasan Ayer Kuning, Tapah, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi, suspek, Wong Chun Ming, 42, dan Lee Yoke Kong, 62, ditembak mati selepas melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis.

Kedua-dua suspek yang ditembak mati itu dipercayai terbabit dalam kejadian samun dan tembak pada Jumaat lalu sehingga menyebabkan pegawai bank berusia 26 tahun cedera di belakang badan, manakala rakannya berusia 35 tahun cedera di paha kiri.

Ketua Polis Perak Datuk Osman Salleh berkata, kedua-dua suspek itu dikesan hasil soal siasat terhadap dua lagi suspek yang ditahan sebelum ini selepas dipercayai turut terbabit dalam kes berkenaan.

Katanya, seorang suspek yang memberikan maklumat itu ditahan pada hari kejadian selepas ditangkap sendiri oleh mangsa, manakala seorang lagi ditahan di Genting Highlands, Pahang, kelmarin.

myMetro 24 Feb 2015

0 comments:

Post a Comment