February 25, 2015

Empat jam ragut dua nyawa

Kota Bharu: Dua wanita maut dalam tempoh empat jam selepas terbabit dalam kemalangan masing-masing di Jalan Bukit Marak, di sini dan Kampung Jubakar Darat, dekat Tumpat, kelmarin.

Kejadian pertama berlaku di Jalan Bukit Marak, di sini jam 5.30 petang menyebabkan Sabariah Omar, 52, yang menunggang motosikal, meninggal dunia di tempat kejadian manakala pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) Prenchira Ekong, 19, maut dalam kejadian jam 9.15 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, Sabariah menunggang motosikal bersama dua anaknya yang masih kecil dari arah Bukit Marak menghala ke Bachok.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa mahu membelok ke kanan untuk pulang ke rumahnya di Kampung Badak Mati, Pauh Lima sebelum dirempuh sebuah motosikal dari arah belakang yang ditunggang Muhamad Amir Syahid Mohd Yusof, 20.

Sementara itu, dalam kemalangan di Tumpat, Prenchira yang membonceng motosikal bersama ibunya berusia 51 tahun maut di Hospital Tumpat ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Zaharuddin Rasip berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta dari arah Pengkalan Kubor hilang kawalan ketika melalui jalan berselekoh dan merempuh motosikal dinaiki mangsa.

“Selepas merempuh motosikal, kereta itu melanggar sebuah lagi kereta,” katanya.

“Mangsa parah di badan dan kepala dibawa ke Hospital Tumpat dan meninggal dunia ketika dirawat,” katanya.

myMetro 24 Feb 2015

0 comments:

Post a Comment