January 27, 2015

Nenek mohon cucu dihukum berat

KUALA TERENGGANU - Seorang cucu yang tergamak merompak rantai leher emas milik neneknya menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman penjara lima tahun, oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Ahmad Rashidi Hisham Abd Razak, 36, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah merompak rantai leher emas milik neneknya, Hasiah Salleh, 84, pada 3 Januari lalu, jam lebih kurang 4.20 petang di Duyong Besar, di sini.

Dia yang memiliki beberapa rekod jenayah lampau sebelum ini mengaku salah mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana rompak yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, jurubahasa mahkamah telah membaca luahan rasa mangsa yang mengakui terlalu kecewa terhadap perbuatan cucunya itu kerana rantai leher emas tersebut merupakan satu-satunya barang kemas miliknya yang ada, serta dibeli menggunakan duit simpanannya dengan dibayar secara ansuran.

Selain itu, warga emas berkenaan turut mengharapkan cucunya itu dikenakan hukuman berat kerana terlalu kecewa dan sedih dengan sikap cucunya yang tidak pernah insaf, walaupun sebelum ini pernah dikenakan hukuman kerana kesalahan jenayah.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang wanita warga emas kerugian lebih kurang RM10,000 apabila seutas rantai emas yang dipakainya disamun seorang lelaki.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa berada di belakang rumahnya sedang mencabut rumput, sebelum tiba-tiba dipeluk dari arah belakang oleh seseorang sebelum rantai dipakainya direntap oleh suspek.

Sinar Harian 27 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment