December 21, 2014

Remaja maut motosikal terseret satu kilometer

KEADAAN motosikal Muhammad Shahidi yang terperosok di bawah kereta Hyundai Sonata setelah diseret kereta itu di Jalan Sikamat, Seremban semalam.

SEREMBAN – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut akibat tercampak selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Sikamat di sini semalam.

Kejadian pukul 2.14 pagi itu menyebabkan mangsa, Muhammad Shahidi Mohd. Azmi dari Kampung Jiboi Baru di sini cedera parah pada kepala dan badan.

Kosmo 21 Dis 2014


Calon SPM maut kemalangan

Jenazah Muhammad Shahidi dimasukkan ke dalam van jenazah untuk disembahyangkan di Masjid Kelana Petra Sendeng, Ampangan

SEREMBAN – “Dalam seminggu ini, seluruh ruang dalam rumah termasuk bilik tidur berbau wangi. Bau wangi itu sentiasa ada. Begitu juga saya perasan ada seekor rama-rama putih masuk ke dalam rumah tiga hari lalu, namun saya tidak mensyaki apa-apa.

“Saya tidak sangka pula bau wangi dan kehadiran sekor rama-rama itu seakan memberi satu petanda, bagaimanapun saya reda dengan pemergian anak saya,” kata Siti Norbaya Yaakub, 45, ibu kepada mangsa, Muhammad Shahidi Mohd Azmi, 17, yang maut selepas terbabit dalam kemalangan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.14 pagi itu, Muhammad Shahidi yang menunggang motosikal jenis Modenas CT 110 dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Setia Jaya, Jalan Jelebu dari arah Sikamat, dilanggar sebuah kereta jenis Hyundai Sonata yang datang dari arah Seremban.

Siti Norbaya berkata, anak keempat daripada enam beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian.

“Semalam saya sempat jumpanya selepas dia selesai shif kerja. Dia beritahu nak keluar jumpa kawan dan itulah kali terakhir saya bersamanya.

“Kebiasaannya dia akan salam saya dan kemudian saya akan cium dahi dia sebelum dia keluar. Dia keluar rumah seperti biasa, naik motosikal.

“Ketika itu, saya tak rasa apa-apa perubahan. Selepas mendapat tahu kejadian yang menimpa Muhammad Shahidi, saya terkejut dan tidak dapat menahan kesedihan. Bagaimanapun saya reda dengan ketentuan-Nya,” katanya ketika ditemui.

Difahamkan, Muhammad Shahidi pelajar Sekolah Menengah Datuk Sheikh Ahmad Seremban yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kereta.

“Pemandu berkenaan dipercayai cuba memotong kenderaan di hadapannya,  bagaimanapun telah melanggar motosikal yang ditunggang mangsa.

“Motosikal mangsa diseret  sejauh satu kilometer dan berhenti di hadapan Stor Barang Kes Berpusat Sikamat. Manakala mangsa tercampak di bahu jalan berhampiran kesan perlanggaran pertama,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Sinar Harian 21 Dis 2014


0 comments:

Post a Comment