December 18, 2014

Lelaki warga Nepal ditemui mati tergantung dalam bangsal


ANGGOTA polis mengusung mayat Gurung Shankar yang ditemui mati di Kampung Kuala Abang, Dungun. - Foto Rosli Ilham

DUNGUN: Seorang lelaki warga Nepal ditemui mati tergantung di dalam sebuah bangsal di Kampung Kuala Abang di sini, tengah hari ini.

Mangsa, Gurung Shankar, 31, ditemui mati oleh Mazlan Ishak, 51, yang menumpangkan mangsa di bangsal di rumahnya itu, ketika mahu mengajak mangsa makan tengah hari di rumahnya kira-kira jam 12.15 tengah hari.

"Saya sangat terkejut apabila sebaik membuka pintu bangsal, saya dapati dia sudah mati tergantung," katanya,

Mazlan yang tinggal berhampiran Pantai Batu Pelanduk di sini, berkata, dia didatangi mangsa yang tidak dikenalinya itu merayau-rayau berhampiran rumahnya, kira-kira jam 5 petang semalam.

"Mangsa ada datang ke rumah meminta air dan saya memberinya minum. Mangsa kemudian meminta kebenaran menumpang di sebuah bangsal bersebelahan rumah saya.

"Saya yang kasihan kepadanya membenarkan dia menumpang di bangsal terbabit dan pagi ini saya sempat menyediakan sarapan pagi kepadanya sebelum saya ke sebuah balai raya mengambil dana bantuan sekolah anak," katanya.

Dia berkata, sebaik pulang ke rumah, dia teringat akan mangsa dan berhajat mengajak mangsa makan tengah hari.

"Beberapa kali saya memanggilnya, namun dia tidak menjawab dan sebaik masuk ke dalam bangsal saya mendapati mangsa sudah tergantung.

"Ketika membuat pemeriksaan, saya dapati mangsa sudah tidak bergerak sebelum saya segera ke Balai Polis untuk membuat laporan," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan polis masih menjalankan siasatan berhubung dengan kejadian itu.

Berita Harian 15 Dis 2014

0 comments:

Post a Comment