December 18, 2014

Dua beranak berpaut 3 jam pada dahan pokok

Kelihatan anggota penyelamat berusaha menyelamatkan mangsa daripada ditenggelami air sedalam tiga meter. Foto Sinar Harian oleh Azlida Alimin

RANTAU PANJANG - Dua warga Thailand bernasib baik sempat diselamatkan pasukan penyelamat selepas tiga jam bergantung nasib kepada dahan pokok.

Difahamkan, mangsa anak dan ibunya cuba mengharungi air yang melimpah di jalan raya berdekatan dengan Kampung Banggol Kulim.

Tanpa disedari mereka dua beranak dihanyutkan arus deras ke kawasan yang lebih dalam.

Bagaimanapun pasangan berkenaan bernasib baik kerana sempat berpatut pada dahan pokok itu bagi menyelamatkan diri.

Sinar Harian 18 Dis 2014


Terperangkap atas pokok

Rantau Panjang: “Melalui lensa kamera, saya nampak jelas wajah mereka ketakutan sambil menggigil kesejukan, namun pada ketika itu pasukan penyelamat tidak boleh menyelamatkan mereka.”

Demikian kata jurugambar The New Straits Times Press (NSTP) Fathil Asri mengenai usaha menyelamat seorang lelaki dan seorang wanita yang terperangkap di atas pokok, dipercayai lebih satu jam selepas air naik mendadak berserta arus deras di daerah ini, semalam.

Menurutnya, pasangan itu dilihat berada di atas pokok di jalan menghala ke pekan Rantau Panjang berdekatan dengan Masjid Beijing, di sini, jam 10 pagi semalam.

Fathil berkata, ketika itu dia mengikuti misi menyelamat yang dilakukan beberapa anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dengan menaiki lori lima tan

“Ketika melalui jalan berdekatan Masjid Beijing, kami ternampak dua individu berkenaan di atas pokok pada jarak hampir 100 meter. Tapi lori yang kami naiki tidak boleh mendekati mereka kerana arus deras dan air dalam.

“Jika kami mendekati kawasan itu, saya yakin lori yang kami naiki kami juga hanyut seperti mana ratusan kenderaan lain yang lebih kecil.

“Jadi, saya hanya mampu merakam gambar pasangan itu dari jauh manakala anggota JPAM menjerit kepada mereka meminta kedua-duanya bersabar sementara menunggu kehadiran bot penyelamat,” katanya.

Menurutnya, anggota JPAM segera memaklumkan mengenai pasangan berkenaan yang terperangkap di atas pokok kepada skuad menyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan berkata, anggotanya bergegas ke tempat kejadian sebaik saja menerima maklumat.

Menurutnya, pada peringkat awal kerja menyelamat sukar kerana arus deras, namun selepas beberapa percubaan usaha anggota bomba menurunkan pasangan itu berhasil.

“Kami percaya mereka sudah bergayut lebih daripada sejam. Ketika anggota bomba membawa turun, mereka diselimutkan dan terus dibawa ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi,” katanya.

myMetro 19 Dis 2014

0 comments:

Post a Comment