December 29, 2014

Ajal dua beradik


Kuantan: Dua beradik dalam perjalanan pulang selepas melawat saudara yang menjadi mangsa banjir di Kelantan terbunuh apabila MPV dinaiki terbabas sebelum bertembung kereta lain di Persimpangan Bunga Cengkih, di sini, 1.40 pagi ini.

Mat Sharif Sulaiman , 37, dan adiknya, Nur Mulaikhartini, 26, yang menetap di FELDA Panching, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, berkata ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan menghala ke FELDA Panching dari arah Pelabuhan Kuantan.

"Ketika tiba di tempat kejadian, MPV dinaiki mangsa dipercayai terlanggar lopak air, terbabas dan merempuh pembahagi tengah sebelum masuk ke laluan sebelah dan bertembung pula dengan kereta lain,” katanya.

myMetro 29 Dis 2014


Dua beradik maut dalam kemalangan

KUANTAN - Dua beradik maut manakala lima lagi anggota keluarga mangsa cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Proton Preve di persimpangan Bunga Cengkih Jalan Kuantan-Bypass di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, dalam kejadian pada pukul 1.20 pagi itu, mangsa yang maut ialah Mat Sharif Sulaiman, 37, seorang pemandu lori berasal dari Pasir Mas dan adiknya, Nur Mulaikhartini Sulaiman, 26, berasal dari Machang, Kelantan.

“Mat Sharif mati di tempat kejadian manakala Nur Mulaikhartini meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan,” katanya.

Anggota keluarga mereka yang cedera ialah pemandu MPV, Ahmad Faisal Abu Bakar, 25, suami Nur Mulaikhartini, anak mereka Ahmad Farish Muzzafar berusia tiga tahun, penumpang hadapan Mohd. Samsuri Sulaiman, 34, Siti Ramlah Sulaiman, 38, dan Adam Hariz Mohd. Norizan yang baru berusia setahun.

Menurut Abdul Aziz, pemandu Proton Preve, Dzulkifli Yaacob, 52, dan anak perempuannya, Nur Syahirah Dzulkifli, 21, dari Kampung Baru, Bentong turut cedera akibat nahas berkenaan.

“Nahas tersebut berlaku semasa MPV yang dinaiki tujuh sekeluarga terbabit dalam perjalanan dari Pelabuhan Kuantan menghala ke Gambang. Apabila tiba di lokasi kejadian, MPV tersebut telah melanggar lopak air menyebabkannya hilang kawalan lalu berpusing dan naik ke pembahagi tengah jalan, lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Preve dari arah bertentangan.

“Mayat dihantar ke HTAA untuk bedah siasat dan kesemua mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital sama,” katanya. - Bernama

29 Dis 2014

0 comments:

Post a Comment