November 23, 2014

Warga emas maut tergelincir

KUALA TERENGGANU - Seorang warga emas maut setelah tergelincir dan terhantuk pada tunggul kayu sewaktu ingin ke kebunnya di Kampung Darat Batu Rakit, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, mangsa, Yusof Hitam, 77, dilaporkan keluar dari rumahnya kira-kira jam 11 pagi untuk ke kebunnya yang terletak berdekatan rumah.

Menurutnya, untuk ke kebun, mangsa perlu melalui sebuah alur yang berkedalaman kira-kira 0.5 meter.

“Kita percaya mangsa ingin memanjat tebing tetapi tergelincir kerana tebing yang licin. Mangsa dipercayai terjatuh dan kepalanya terhentak pada tunggul kayu di kawasan itu.

“Dia kemudiannya terjatuh ke dalam alur dan dibawa arus kira-kira 50 meter dari lokasi dia dipercayai tergelincir,” katanya ketika ditemui di bahagian forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, semalam.

Jelasnya, mangsa dipercayai mati disebabkan hentakan pada tunggul kayu itu dan mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut. Bagaimanapun, pihaknya menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian.

Sementara itu, anak mangsa, Bakar Yusof, 44, berkata, ayahnya sepatutnya pulang kembali ke rumah untuk mengambil pisau.

Kata Bakar, adiknya, Azhar, 35, memaklumkan ayahnya ada memberitahu ibu mereka, yang dia akan balik ke rumah kembali untuk mengambil pisau setelah meninjau kebunnya.

Bagaimanapun setelah hampir setengah jam, ayahnya tidak pulang menyebabkan mereka berasa risau dan Azhar kemudian ke kebun bagi melihat keadaan ayahnya.

“Apabila adik saya sampai, dia mencari-cari ayah tetapi terkejut apabila menemui ayah dalam alur dan dia sudah tidak bernyawa lagi,” katanya.

Sinar Harian 23 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment