November 1, 2014

Terpaksa belajar tepi surau


Pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Addin Parit terpaksa belajar di luar surau kerana tiada kemudahan kelas pengajian

PARIT- Pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Addin Parit terpaksa belajar di kawasan terbuka kerana tidak mempunyai kemudahan kelas pengajian.

Pengerusinya, Mohd Alwi Mohd Isa berkata, sekolah yang ditubuhkan sejak 2001 itu adalah di bawah Yayasan Addin namun dikendalikan secara persendirian termasuk daripada segi kewangan.

Menurutnya, pelajar-pelajar di situ terpaksa belajar di kawasan terbuka termasuk di tepi surau kerana tidak mempunyai bangunan khusus untuk dijadikan kelas pengajian.

“Bangunan yang ada hanya asrama, surau dan dewan makan kerana pada permulaan, pelajar hanya 30 orang.

“Bagaimanapun tahun demi tahun ramai yang memohon masuk ke sekolah ini namun kami hanya boleh terima 80 orang kerana masalah kekurangan tempat belajar," katanya ketika ditemui di sini.

Mohd Alwi berkata, walaupun kurang selesa namun mereka tiada pilihan.

Katanya, dana kewangan sekolah berkenaan adalah hasil usaha sendiri termasuk bayaran gaji guru dan kakitangan sekolah.

“Kami hanya ikut silibus daripada Yayasan Addin, tetapi daripada segi lain kami uruskan sendiri termasuklah kemasukan pelajar dan dana.

“Gaji pekerja juga dibayar melalui yuran pelajar dan dana kewangan lain terpaksa dicari sendiri," katanya.

Beliau berkata, walaupun berdepan kesukaran itu, pusat pengajian itu tidak pernah menyuruh pelajarnya mengutip derma.

Menurutnya, sumbangan orang ramai untuk pembangunan sekolah itu dan menambah baik kemudahan pelajar amat dialu-alukan.

Mohd Alwi berkata, perancangan untuk membina bangunan kelas untuk keselesaan pelajar tidak dapat direalisasikan kerana kekurangan dana.

“Berdasarkan pelan pembangunan yang kami buat, sebanyak RM4.5 juta diperlukan untuk pembangunan infrastruktur sekolah ini yang secara tidak langsung akan beri lebih keselesaan kepada pelajar-pelajar di sini.

“Jadi kami amat mengalu-alukan sumbangan tidak kira kewangan atau pembinaan bangunan,” katanya.

Beliau berkata, permohonan untuk memasuki maahad tahfiz tersebut yang diterima adalah kira-kira 300 setahun namun banyak terpaksa ditolak kerana kemudahan tidak lengkap di pusat pengajian itu.

“Sekarang kami hanya membuka kelas tingkatan satu, dua dan tiga sahaja kerana tidak cukup tempat. Jika projek pembangunan ini berjaya dilaksanakan, kita berhasrat untuk buka pengajian sehingga ke peringkat Diploma al-Quran namun bergantung kepada dana yang berjaya dikumpulkan,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Maybank 558118512654.

Sinar Harian 31 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment