November 21, 2014

Terkejut jumpa skru dalam jeli


Skru besi ditemui dalam jeli berperisa buah-buahan yang dibeli dari sebuah kedai runcit.

TELUK INTAN - Bapa kepada tiga orang anak terkejut apabila salah satu jeli perisa buah-buahan yang dibeli di sebuah kedai runcit di Jalan Sungai Nibong, dekat sini, mengandungi skru ketika mahu makan bersama-sama anak-anaknya.

Mohamad Salam Buardi, 35, berkata, dia menyedari kewujudan skru itu apabila tiga orang anaknya berusia lima hingga lapan tahun mahu makan jeli tersebut.

Menurutnya, salah seorang anaknya memintanya untuk membuka bungkusan salah satu jeli tersebut.

“Ketika saya mahu buka bungkusan salah satu jeli, saya nampak ada benda pelik dalam bungkusan tersebut.

“Apabila saya periksa, saya terkejut apabila jeli perisa buah-buahan itu mengandungi skru besi. Saya bersyukur kerana anak tidak makan jeli itu, jika tidak pasti berlaku kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Mohamad Salam berkata, dia yang terkejut dengan penemuan skru besi dalam jeli perisa buah-buahan itu segera membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Intan untuk tindakan lanjut.

"Dalam masa sama saya juga membuat laporan kepada pihak Jabatan Kesihatan supaya tindakan tegas dikenakan kepada pengeluar jeli buah-buahan yang didakwa cuai ketika membungkus makanan tersebut," katanya.

Mohamad Salam turut menasihatkan kepada orang ramai supaya berhati-hati dan memeriksa dahulu makanan sebelum diberikan kepada anak.

Sinar Harian 20 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment