November 29, 2014

Pelajar kena tetak perompak

MOHD Zariq cedera ditetak perompak, semalam.

SEREMBAN – Seorang pelajar lelaki Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Chembong,  Rembau mengalami cedera parah akibat ditetak dengan pisau pemotong daging oleh perompak yang memasuki rumahnya di Taman Bukit Chedang di sini, pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 8 pagi itu berlaku ketika mangsa Mohd Zariq Hakimi Fauzi, 19, sedang tidur di bahagian ruang tamu rumahnya sebelum dikejutkan dengan jeritan ibunya yang memintanya bangun.

Menceritakan kejadian, kakak mangsa berusia 24 tahun yang tidak mahu dikenali berkata, ketika kejadian dia, sepupu serta seorang lagi adik lelaki berusia 12 tahun berada di dalam bilik manakala Mohd Zariq tidur di ruang tamu.

“Ketika itu ayah sudah pergi kerja dan ibu pula sedang menyapu sampah di halaman rumah sambil berbual-bual dengan ibu saudara yang tinggal di sebelah rumah.

“Tiba-tiba dua lelaki bermotosikal dan bertopi keledar meluru masuk ke rumah serta menendang pintu menyebabkan ibu saya yang takut terus berlari ke belakang rumah. Masa itu dia sempat menjerit suruh Mohd Zariq bangun,” katanya.

Menurutnya, dari dalam bilik dia melihat seorang suspek mengacukan parang ke arah Mohd Zariq yang kemudiannya menggunakan kayu hoki untuk mempertahankan diri.

Katanya, seorang lagi suspek secara tiba-tiba meluru masuk dan menetak adiknya menggunakan pisau pemotong daging di bahagian badan, kepala dan pinggang sebelum kedua-duanya melarikan diri.

“Saya difahamkan sebelum itu dia sempat merampas barangan kemas yang dipakai ibu saudara sebelum meluru ke rumah kami.

“Tapi penjenayah itu tidak sempat ambil apa-apa di rumah kami dan melihat keadaan adik yang cedera, saya bergegas membawanya ke hospital,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini semalam.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun mendatangkan cedera.

Katanya, pihaknya turut menerima lima laporan kes rompakan di Senawang, Paroi dan Sikamat dipercayai dilakukan oleh suspek sama.

“Kita (polis) sedang memburu suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.

“Saya nasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan keadaan sekeliling sekali gus dapat mengelakkan diri menjadi mangsa penjenayah,” katanya.

Sinar Harian 29 Nov 2014


Lawan guna kayu hoki

Seremban : “Saya cuba membantu adik selepas dia ditetak, namun tidak berdaya melawan mereka,” kata Nor Farazira Fauzi, kakak pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Chembong, dekat sini, Mohd Zariq Hakimi yang parah ditetak perompak di kediaman mereka di Jalan Bukit Belida 14, Taman Bukit Chedang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi, Nor Farazira, 24, sepupunya, Norzirah Zamlus, 22, dan adik, Mohd Aiman Haziq, 12, tidur di bilik, manakala Mohd Zariq Hakimi, 19, tidur di ruang tamu.

Nor Farazira berkata, bapa mereka bekerja di luar kawasan manakala ibu, Zarina Abdul Rahman, 50, menyapu sampah di halaman rumah.

“Ketika itu, dua lelaki bertopi keledar menerjah masuk dengan menendang pintu menyebabkan ibu ketakutan berlari ke belakang rumah.

“Seorang daripada lelaki itu meluru ke arah Mohd Zariq Hakimi dan mengacukan parang, manakala seorang lagi ke rumah ibu saudara bersebelahan,” katanya di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini, semalam.

Menurutnya, dia menyaksikan kejadian itu menerusi celah pintu bilik dan menjerit ke arah adiknya supaya mengambil kayu hoki melawan perompak berkenaan.

myMetro 29 Nov 2014



0 comments:

Post a Comment