November 29, 2014

Guru dipukau ‘pengutip derma’

Kuantan: Seorang guru wanita tidak menyangka hasrat murni untuk bersedekah menyebabkannya menjadi mangsa pukau lelaki berperwatakan alim sehingga kerugian RM2,000 di rumahnya di Balok Baru Pine, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, mangsa dikenali sebagai Hajar, 30-an yang tinggal seorang diri di rumahnya didatangi lelaki warga Thailand yang meminta derma.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, lelaki berusia 40-an datang ke rumah mangsa meminta derma untuk membantu rumah anak yatim di selatan Thailand.

Beliau berkata, mangsa memberikan wang tunai RM5 kepada lelaki itu.

“Namun, jiran guru itu melihat lelaki berkenaan keluar dari rumah tergesa-gesa sebelum menemui wanita itu dalam keadaan terpinga-pinga,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, mangsa menyedari dipukau dan disamun 15 minit kemudian apabila jiran bertanya pelbagai soalan tidak mengingati perkara yang berlaku.

“Mangsa memeriksa beg tangan dan mendapati wang tunai RM250 dan dokumen penting hilang, selain dua telefon bimbit.

“Wanita terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Beserah, di sini, sebaik menyedari dirinya menjadi mangsa samun lelaki berkenaan,” katanya.

Abdul Aziz berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan saksi dan mangsa untuk tindakan lanjut termasuk sudah mengarahkan anggota untuk melakukan pemantauan bagi mengesan suspek.

“Kita percaya modus operandi lelaki berkenaan adalah berselindung di sebalik aktiviti mengutip derma untuk anak yatim di kawasan perumahan. Jika melihat mangsa berseorangan, dia akan mengambil kesempatan melakukan aktiviti jenayah itu.

“Pada masa sama, kita tidak menolak kemungkinan mangsa adalah sindiket menggunakan teknik pukau dan samun. Namun, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenalpasti suspek terbabit,” katanya.

myMetro 29 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment