November 27, 2014

Duda didakwa ugut bunuh bapa

KOTA BHARU - Seorang duda anak satu mengaku tidak salah atas tuduhan mengugut bunuh bapanya dengan kata-kata, ‘nate (binatang), aku nok bunuh mu’, 20 November lalu.

Tuduhan ke atas Zali Zulyadi Seman, 33, dibuat di hadapan Majistret, Mohd Isa Mohamad di mahkamah majistret, di sini, semalam.

Tertuduh didakwa membuat ugutan jenayah dengan mengeluarkan kata-kata itu sambil di tangan memegang sebatang kayu terhadap Seman Idris, 67, di hadapan bilik sebuah rumah di Kampung Seberang Pasir Mas Salor, di sini.

Kejadian berlaku jam 3.50 petang, 20 November lalu, namun susulan daripada penafiannya, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad memohon tarikh sebutan dan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh berikutan tinggal bersama dengan bapanya.

Zali Zulyadi yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kelantan memohon jaminan dibenarkan dan mengaku insaf.

Mohd Isa bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan semula pada 22 Disember depan.

Sinar Harian 25 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment