November 22, 2014

Dua pegawai imigresen didakwa sebabkan kematian warga Bangladesh


Kangar: Dua pegawai Imigresen didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi atas tuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki warga Bangladesh pada 29 Oktober 2014.

Tertuduh, Mohd Aminnudin Mohd Yasin dan Zuhairul Effendy Zualkafli, kedua-duanya berusia 32 tahun, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun yang sama.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh dan mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 12 Disember ini sementara menunggu laporan penuh bedah siasat mangsa.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Abu Bakar Siddiqe pada jam antara 10 malam hingga 11 malam di bilik pantri Jabatan Imigresen Kangar, di Aras 2 Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini.

Pendakwaan dilakukan Ketua Unit Pendakwaan negeri, Badius Zaman Ahmad di hadapan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Rahamatullah Baharudeen.

Berita Harian 21 Nov 2014


2 pegawai berdepan tali gantung

KANGAR – Dua pegawai Imigresen berdepan dengan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Tinggi di sini semalam atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki warga Bangladesh di bilik pantri, Jabatan Imigresen Kangar pada 29 Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Aminnuddin Mohd. Yasin dan Zuhairul Effendy Zualkafli, masing-masing berusia 32 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Abu Bakar Katar.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyebabkan kematian Abu Bakar Siddiqe, 45, di bilik pantri jabatan berkenaan di Aras 2 Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini antara pukul 10 malam hingga 11 malam, 29 Oktober lalu.

Kosmo 9 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment