November 29, 2014

3 anggota polis cedera ditetak


PENDANG – Tiga anggota polis dari Balai Polis Pendang cedera akibat ditetak seorang lelaki kurang siuman menggunakan parang di sebuah rumah di Kampung Kerkau, Guar Kepayang di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, ketiga-tiga mangsa cuba untuk menahan lelaki berusia 28 tahun itu selepas dia berkelakuan agresif dipercayai kerana tidak makan ubat penenang jiwa.

Tiga anggota polis berpangkat Sarjan, Koperal dan Lans Koperal yang me­manggil suspek keluar dari bilik bagai­manapun ditetak sebaik sahaja pintu di­buka.

Ketiga-tiga anggota polis terbabit masing-masing mengalami kecederaan pada kepala dan terpaksa menerima sekurang-kurangnya 10 jahitan, cedera pada tangan kiri dan seorang lagi cedera di lutut.

Kosmo 29 Nov 2014


Berundur! Berundur!

Pendang : “Berundur! Berundur! berundur! jerit seorang anggota polis selepas mereka cedera ditetak seorang lelaki,” kata Annisaa Ismail, 35, yang menyaksikan tiga anggota polis cedera ditetak seorang lelaki yang mengalami masalah mental di Kampung Kerkau, Mukim Guar Kepayang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, tiga anggota berusia antara 20 dan 40-an dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang cedera ditetak di kepala, tangan dan kaki.

Difahamkan, suspek berusia 28 tahun dipercayai mengalami masalah mental kerana tidak mengambil ubat menyebabkan ibunya menghubungi polis untuk bantuan.

Annisaa berkata, ketika kejadian dia sedang membakar ikan untuk makan tengah hari dan melihat dua kereta polis masuk ke pekarangan rumah suspek.

“Anggota polis pergi ke belakang rumah dan memujuk suspek melalui tingkap supaya ke hospital.

“Anggota polis itu kemudian masuk dalam rumah dan mengetuk pintu bilik suspek. Beberapa minit kemudian suspek membuka pintu dan terus menetak seorang anggota polis di kepala menggunakan parang menyebabkan mangsa terjatuh.

myMetro 29 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment