October 31, 2014

Perut kenyang, duit hilang

Seri Kembangan: Sebuah van keselamatan yang membawa wang tunai sebanyak RM2 juta disamun di Taman Equine di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 9 malam itu, empat pekerja terbabit baru selesai mengutip wang tunai di beberapa buah bank di kawasan itu sebelum berhenti di sebuah restoran untuk makan malam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razimi Ahmad berkata, tiga pekerja terbabit keluar manakala seorang lagi tidur di dalam van tersebut.

Menurutnya, pekerja yang berada di dalam van terbabit mendakwa didatangi dua lelaki yang bertindak mengikatnya lalu melarikan van bersama wang tunai sejauh dua kilometer dari lokasi.

"Setakat ini polis menahan keempat pekerja terbabit untuk siasatan," katanya.

Katanya, polis akan melakukan siasatan menyeluruh bagi mengenalpasti mereka yang terlibat.

"Keempat pekerja terbabit kini direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

myMetro 28 Okt 2014


Hanya 30 jam pegang RM2 juta

Kuala Lumpur : Tempoh kurang 30 jam diambil pihak polis bagi menjejaki wang tunai berjumlah RM2 juta yang dirompak penjenayah dari sebuah van keselamatan malam kelmarin.

Sumber berkata, sepasukan polis cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang berjaya menemui semula wang itu hasil tindakan pantas polis sejurus menerima laporan kes rompakan di Taman Equine, Seri Kembangan di sini.

Menurutnya, wang tunai itu ditemui polis sebelum dibawa ke IPD Serdang untuk dikira semula semalam.

“Bagaimanapun jumlah sebenar wang yang dijumpai semula polis itu masih belum diketahui,” katanya.

Sumber itu berkata, polis juga menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 30-an di Pahang untuk membantu siasatan.

“Penahanan terbaru itu menjadikan jumlah suspek ditahan adalah lima individu. Polis sebelum ini sudah menahan reman empat pengawal keselamatan yang membawa van itu sejurus rompakan berlaku.

“Suspek yang baru ditahan itu ditahan direman selama lima hari selepas dibawa anggota polis di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi semalam,” katanya.

Menurutnya, polis juga masih memburu saki baki kumpulan suspek yang terbabit dalam rompakan itu.

myMetro 30 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment