October 31, 2014

Penunggang tercampak bawah lori

Keadaan kereta dan motosikal yang terlibat dalam kemalangan maut di Tanah Merah, kelmarin.

Keadaan mangsa yang tercampak bawah lori selepas motosikal ditunggangi bertembung sebuah kereta di Tanah Merah, kelmarin.

TANAH MERAH - Seorang lelaki berusia 43 tahun maut selepas motosikal jenis Yamaha Sport ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta jenis Nissan Sylphy di Kilometer 6 Jalan Wan Ahmad, Tanah Merah-Bukit Panau, dekat sini kelmarin.

Mangsa, Shukri Abdul Rashid dari Kampung Wakaf Linchong, Pasir Puteh mengikut alamat pada dokumen pengenalan dirinya maut di tempat kejadian akibat cedera parah selepas tercampak dari motosikal setelah pelanggaran.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Superintendan Mohd Fadzir Manap berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 2.05 petang dan mangsa ketika itu dalam perjalanan dari arah Tanah Merah menuju Bukit Panau.

Katanya, kereta terbabit yang dipandu lelaki berusia 35 tahun dari Taman Sinar Jaya, Belimbing, dekat sini datang dari arah bertentangan dan bertembung dengan motosikal ditunggangi mangsa.

"Mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan menyebabkan berlaku pelanggaran dengan kereta terbabit dan mangsa tercampak ke bawah lori yang diletakkan di tepi jalan," katanya.

Menurut Mohd Fadzir, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga bagi urusan pengebumian.

"Siasatan kes masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sinar Harian 25 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment