October 20, 2014

Nasib bapa dan anak lumpuh menyentuh hati Hope Place

SERIAN: Nasib seorang bapa, 58, yang separa lumpuh dan menggunakan kerusi roda selepas diserang angin ahmar dan anak perempuannya, 31, yang lumpuh akibat penyakit yang menyebabkannya terlantar di katil serta tidak dapat bercakap telah menyentuh hati sukarelawan dari Persatuan Kebajikan Harapan Kuching (Hope Place).

Jemali, seorang pekerja am telah menjaga anak perempuannya, Juliawati sehingga dia mengalami serangan angin ahmar kira-kira dua tahun lalu. Isterinya meninggal dunia kira-kira 20 tahun lepas.

Mereka tinggal di sebuah rumah kayu yang usang bersama seorang lagi anaknya, Malek yang menjadi penyara hidup tunggal mereka sebagai pengawal keselamatan.

Mereka bergantung kepada jiran dan ahli keluarga untuk membawa makanan dan memandikan mereka.

Juliawati seorang gadis normal sebelum dia mengalami demam panas pada usia 25 tahun yang menyebabkannya lumpuh.

Sekarang, Juliawati terlantar di sudut bilik dan tanpa sesiapa untuk membantunya menyebabkan dia sering membuang air di tempatnya terlantar.

Dia menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun ia tidak mencukupi untuk mereka.

Justeru, Hope Place baru-baru ini menyumbang bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak, biskut, mi, garam, gula dan Milo kepada keluarga berkenaan.

Bagaimanapun, mereka mendapati keluarga itu memerlukan lebih daripada sekadar bekalan makanan.

Rumah kayu mereka perlu diperbaiki dan paling penting, mereka memerlukan penjaga harian untuk memberi makanan dan memandikan mereka.

Hope Place menghantar bantuan sekali setiap dua bulan disebabkan oleh keluarga yang banyak dalam senarai penerima bantuan mereka.

Buat masa sekarang, mereka membantu lebih 80 keluarga.

Untuk maklumat lanjut mengenai bagaimana cara anda dapat membantu, Hope Place boleh dihubungi menerusi talian 013-5672775 dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dari hari Isnin hingga Jumaat.

Utusan Borneo 18 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment