October 31, 2014

Lima sekeluarga hilang punca

Demi suami yang memerlukan perhatian, Zurina sanggup berhenti kerja.

KOTA BHARU - Lima sekeluarga dari Kampung Durian Mas, di sini, hidup dalam keperitan apabila hilang punca pendapatan selepas si bapa terlantar akibat kemalangan, lima bulan lalu.

Lebih menambahkan derita yang dialami Muhamad Isa Yaacob, 53, apabila dia turut disahkan menghidap kencing manis hingga menyebabkan tubuh yang dulunya sasa kini tinggal rangka.

Isterinya, Zurina Muhamad, 50, berkata, penderitaan suaminya itu bermula selepas pekerja pembersihan itu kemalangan jalan raya ketika menunggang motosikal, Jun lalu.

Katanya, dia sendiri hanya mengetahui suaminya kemalangan sehari selepas itu apabila pihak hospital menghantar suaminya pulang ke rumah dengan menggunakan ambulans.

“Sebelum ini, dia pernah kemalangan dua kali dan menyebabkan tulang rusuknya patah. Kemalangan kali ketiga ini pula menyebabkan dia tidak mampu bangun dan memerlukan bantuan bagi menguruskan keperluan sehariannya,” katanya.

Menurutnya, berikutan keadaan suami memerlukan perhatian penuh, Zurina terpaksa mengambil keputusan sukar untuk berhenti kerja sebagai tukang cuci.

“Kalau kerja adalah sikit duit tetapi kakak terpaksa berhenti untuk menjaga suami. Dia tidak dapat bangun dan memerlukan bantuan kakak serta anak-anak untuk menguruskannya,” katanya yang mempunyai lima anak dan dua daripadanya tinggal di Pahang.

Zurina berkata, anak perempuannya yang sulung berusia 23 tahun telah mendirikan rumah tangga, manakala anak kedua dan ketiga, masing-masing berusia 20 dan 18 tahun hanya bekerja sebagai pembantu kedai serta hanya mampu membantu sedikit sebanyak keperluan mereka sekeluarga.

“Kami memperoleh bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, namun jumlah itu masih belum dapat menampung perbelanjaan menjaga suami. Lampin pakai buang sahaja sudah mencecah RM136.

“Sewa rumah RM120 dan keperluan makanan yang lain, kalau ada, adalah, kalau tidak ada, maka kami tidak makan,” katanya yang menyewa di sebuah bilik yang dibina bersebelahan dengan rumah pemilik yang mempunyai satu bahagian dijadikan ruang tamu, satu bilik dibina dengan papan dan bahagian dapur serta bilik air.

Anak ketiga berusia 15 dan keempat berusia 13 tahun pasangan itu juga sudah tidak meneruskan persekolahan.

Kepada individu yang mahu membantu, bantuan boleh disalurkan ke akaun BSN Zurina Muhamad (03002-41-00007788-2).

Sinar Harian 27 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment