October 2, 2014

Dulu aktif, kini berkerusi roda

Abdul Halim menyampaikan sumbangan kepada Ahadiat Akil ketika menziarahi kanak-kanak
tersebut. 

KUANTAN - “Dulu dia seorang kanak-kanak yang aktif, tetapi sejak tujuh bulan lalu, dia tidak mampu berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda,” demikian kata Che Ku Kamisah Che Engku Lambak, 43, ibu kepada Ahadiat Akil Abdul Wahab, 5, yang disahkan mengidap penyakit Cerebral Atrophy yang menyebabkan otak semakin mengecil.

Che Ku Kamisah berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu menunjukkan perubahan dalam masa yang singkat apabila cara berjalan menjadi tidak seimbang selain percakapan menjadi sengau.

Menurutnya, hairan dengan perubahan tersebut, dia membawa Akil berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan awal menunjukkan anak saya mengidap penyakit Cerebral Atrophy yang akan memberi kesan kepada pertumbuhannya dan dia boleh menjadi lumpuh.

“Buat masa sekarang, saya terpaksa berulang-alik bawa Akil ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menjalani fisioterapi,” katanya pada Program Ziarah Kasih Maybank sempena Hari Tanggungjawab Korporat Maybank di Kampung Peramu,di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Wilayah Pantai Timur, Abdul Halim Lehan.

Che Ku Kamisah berkata, dia terpaksa bekerja separuh masa bagi memberi sepenuh perhatian kepada Akil.

Katanya, dia perlu menguruskan semua keperluan Akil seperti mandi dan makan.

“Selain menggunakan lampin pakai buang, Akil hanya boleh makan makanan yang lembut seperti bubur, kalau tidak dia akan tersedak.

“Keadaan Akil yang berubah secara mendadak sedikit sebanyak menguji kesabaran saya dan suami, Abdul Wahad Mohammad, 49, namun kami reda dan sentiasa berdoa dia kembali sihat,” katanya.

Che Ku Kamisah berkata, sejak tidak dapat bekerja seperti biasa, pendapatan yang diperoleh sedikit terjejas tambahan pula suaminya yang bekerja sebagai kelindan lori tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Nasib baik bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dapat menampung keperluan Akil,” katanya.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, program sumbangan kepada golongan memerlukan itu diadakan bagi menunaikan tanggungjawab sosial syarikat mereka kepada komuniti.

Beliau berkata, sebanyak tujuh keluarga yang mempunyai anak Orang Kurang Upaya (OKU) dipilih bagi menerima sumbangan.

“Selain itu, kita turut melakukan aktiviti gotong-royong seperti membersihkan dan mengecat masjid serta kawasan perkuburan.

“Kita harap dengan program seperti ini dapat membantu komuniti dalam masa sama mendekatkan diri kami kepada pelanggan,” katanya.

Sinar Harian 28 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment