October 29, 2014

Berhenti sekolah demi keluarga

Nithyasri (belakang dua, kanan) menerima sumbangan daripada Aliza dan pihak Econsave Kluang.

KLUANG - Seorang remaja sanggup mengorbankan masa depannya demi membantu ibu bapanya keluar mencari rezeki menyara keluarga.

N Muniwaran, 13, anak kedua dari lima beradik tidak menyesal berhenti sekolah ketika tingkatan satu kerana mahu membantu kakak dan ibu bapanya menjaga tiga adiknya yang masih kecil.

Kakaknya, N Nithyasri,15, berkata, apabila dia dan adik-adik lain ke sekolah, Muniwaran menguruskan kerja di rumah.

“Puas kami sekeluarga memujuk Muniwaran untuk menyambung persekolahannya, tetapi dia tetap tidak mahu kerana kesian dengan ibu dan ayah.

“Mak bekerja di kilang di bandar Kluang manakala ayah bekerja di bengkel di Pekan Paloh. Jadi, tiada siapa adik yang sekolah di Tabika. Adik yang kecil balik awal, jadi Muniwaran jaga dia di rumah.

“Hendak hantar adik yang bongsu ke tempat pengasuh, kami tidak mampu kerana keluarga hidup dalam serba sederhana malah gaji mak dan ayah tidak mampu mengupah pengasuh,” katanya ketika menerima kunjungan pasaraya Econsave di kediamannya di Taman Kota Paloh, semalam.

Nithyasri berkata, sekiranya tiada aktiviti dan kelas tambahan di sekolah, dia akan membantu Muniwaran menjaga tiga adiknya.

Katanya, ibunya, P Rajespary,40, terpaksa keluar bekerja untuk membantu ayahnya, K Nagarajan,45, menambah pendapatan keluarga.

“Sempena Deepavali, dia dan keluarga menyambutnya dengan sederhana sahaja, malah tiada persiapan termasuklah baju raya untuk kami adik-beradik,” katanya.

Dalam pada itu, pihak Econsave Cawangan Kluang bersama-sama rombongan Ketua Wanita Umno Cawangan Kota Paloh turun padang menyampaikan sumbangan kepada keluarga kurang berkemampuan di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Kota Paloh, Aliza Jamaludin berkata, pihaknya memandang serius masalah yang dihadapi keluarga berkenaan dan memastikan semua anak-anak pasangan itu mendapat pendidikan sempurna.

“Terima kasih di atas keprihatinan pihak pengurusan Pasaraya Econsave yang sudi bekerjasama dengan kami untuk berkunjung ke rumah-rumah keluarga kurang berkemampuan di sini.

“Harapan saya agar kerjasama seperti ini akan terus terjalin pada masa akan datang agar lebih ramai lagi keluarga seperti ini dapat dibantu,” katanya.

Hadir sama, Ketua MIC Cawangan Paloh, K Rajoo dan Pengurus Pasaraya Econsave Kluang, V Kasturi Bai.

Sinar Harian 24 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment