September 15, 2014

Tiga remaja maut, dua kritikal

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Usia seperti mereka sepatutnya berada di rumah dan melakukan kerja-kerja berfaedah.

Namun kerana terlalu mengikut jiwa muda, tiga remaja di sini, menghabiskan masa secara sia-sia dengan memilih jalan raya untuk berlumba haram.

Dalam kejadian awal pagi ini, ketiga-tiga mereka maut manakala dua lagi parah dan kritikal setelah motosikal ditunggang bergesel sesama sendiri di Kilometer 20.4, Lebuh Raya Guthrie, awal pagi ini.

Mangsa yang maut ialah Muhamad Hafiz Erman, 18; Amir Afif Mohamad Nizam dan Muhamad Shafie Sudar, 16.

Dua daripadanya mati serta-merta akibat kecederaan parah di tempat kejadian manakala seorang lagi ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Dua lagi yang kritikal ialah Ariffin Malani, 20 dan Muhamad Safi Mohd Sulhi, 16, dan turut menerima rawatan di hospital sama.

Difahamkan, semasa kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, terdapat kira-kira 30 penunggang motosikal yang terbahagi kepada dua kumpulan terlibat dalam perlumbaan haram.

Setibanya di situ, kumpulan motosikal pertama dipercayai telah bergesel sesama sendiri seterusnya melanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mazda dari arah yang tidak dapat dipastikan, lalu tercampak di atas jalan.

Pada masa sama, kumpulan motosikal kedua pula gagal mengelak lalu merempuh penunggang yang terjatuh.

Berikutan itu, dua daripada mangsa tercampak ke tepi jalan manakala seorang lagi penunggang terjunam ke bawah jambatan berdekatan lebuh raya terbabit.

Mayat ketiga-tiga mangsa itu kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat manakala dua lagi mangsa yang cedera masih dirawat di zon kritikal di hospital tersebut.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supritendan Junaidi Bujang ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian tersebut.

Utusan 14 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment