September 20, 2014

Pelatih lari kerana takut

TELOK KEMANG – Seorang pelatih nekad melarikan diri dari sebuah kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di daerah ini, selepas mendakwa dirinya dibelasah jurulatih kem terbabit.

Muhammad Solihin Abd Manan, 18, berkata, dia nekad melarikan diri dengan memanjat pagar bahagian hadapan kem berkenaan sekitar jam 3 pagi kerana sering diugut selepas dibelasah oleh dua jurulatih gara-gara kantoi menghisap rokok.

“Pada 9 September lalu selepas minum petang, saya bersama seorang rakan menghisap rokok dan terlewat ke perhimpunan petang sebelum dipanggil jurulatih untuk ke hadapan perhimpunan.

"Jurulatih terhidu bau rokok lalu mengarahkan saya mengambil baki rokok yang disimpan.

“Kemudian saya dibawa ke bilik air dan diarahkan untuk membuka pakaian. Dengan hanya berseluar dalam, saya didenda dengan membuat tekan tubi. Malah sebelum itu, saya dilempang beberapa kali dan diterajang di bahagian perut.

"Selepas itu saya diarahkan untuk memanggil seorang lagi rakan yang sama-sama menghisap rokok sebelum di bawa ke sebuah bilik kosong.

"Di situ kami dibelasah lagi dan diberi amaran agar tidak mendedahkan kejadian itu kepada sesiapa sebelum kami dilepaskan untuk mengikuti kegiatan riadah petang,” katanya.

Tambah Muhammad Solihin, sejak kejadian itu, jurulatih berkenaan akan memberi amaran kepadanya setiap kali kali berjumpa dengannya.

Sementara itu, kakaknya, Zaida, 27, berkata, pada awalnya dia anggap perkara itu biasa memandangkan adiknya seorang yang nakal.

"Tetapi selepas adik membuat laporan polis dan menceritakan hal sebenar, baru saya faham mengapa dia bertindak demikian. Memang dia bersalah tetapi hukuman yang diberikan melampaui batas.

"Dia kini trauma dengan apa yang berlaku, lebih-lebih lagi dia masih terkejut dengan kehilangan ibu yang meninggal dunia akibat barah pada 1 September lalu,” katanya.

Tambah Zaida, selepas kejadian adiknya lari dari kem, dia ada bertemu dengan komander kem untuk menyelesaikan masalah terbabit.

“Memang pihak kem menyuruh adik saya supaya kembali ke kem untuk menamatkan latihan yang masih berbaki sebulan setengah," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, pihaknya telah membuat siasatan dengan memanggil semua pihak yang dilaporkan terlibat dengan kejadian itu.

"Namun kita dapati tiada perbuatan dera seperti didakwa. Pelatih berkenaan membuat laporan polis kerana takut ditangkap atas kesalahan lari dari kem dan sehingga kini dia masih belum kembali.

“Pihak kem juga membuat laporan polis apabila pelatih ini tidak pulang selepas 24 jam,” katanya.

Sinar Harian 20 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment