September 16, 2014

Dikurung di Pakistan

ZARENA menunjukkan sijil kelahiran dan gambar anaknya.

Ipoh: Seorang wanita mendakwa bukan saja dikurung sebulan di rumah keluarga mentuanya di Pakistan, tetapi didera mental dan fizikal serta dipisahkan dengan anak tunggal berusia sembilan tahun sejak lapan bulan lalu.

Zarena Bibi Omar Din, 38, berkata, dia dan anak lelakinya Ziad Mohammad Talib dibawa suami Mohammad Talib Abdur Rauf, 55, berketurunan Pakistan ke kampung halaman suaminya di Peshawar, pada 31 Januari lalu, kononnya bagi menyelesaikan urusan keluarga.

Katanya, tanpa mengesyaki apa-apa dia mengikuti suami yang berjanji pulang ke Malaysia semula selepas tiga hari di kampungnya.

“Pada hari pertama sampai, tiada apa-apa berlaku, namun pada hari kedua berada di rumah mentua, suami mula berubah perangai dan mengugut menembak serta membunuh saya sekiranya tidak menuruti arahannya.

“Suami mengatakan saya sebenarnya diculik dan dia mengarahkan saya menyerahkan rumah saya yang beralamat di Sunway City, Ipoh, di sini, kenderaan Perodua Kembara dan wang tunai RM18,000, jika saya tidak mahu dicederakan atau dibunuh,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, di sini, semalam.

Zarena berkata, pada masa sama anak lelakinya dipisahkan daripadanya dan sehingga kini masih tiada khabar berita mengenainya.

“Keluarga mentua saya mengarahkan saya menandatangani dua dokumen ditulis dalam Bahasa Inggeris dan Urdu, kandungan dokumen Bahasa Inggeris itu antaranya menyerahkan hak penjagaan anak tunggal saya kepada suami, manakala dokumen berbahasa Urdu pula tidak saya fahami.

“Saya enggan menandatanganinya kerana tidak mahu menyerahkan anak tunggal saya yang juga warga Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak Mohd Rawi Abdullah berkata, susulan aduan mangsa, pihaknya berusaha membantunya termasuk berhubung dengan Wisma Putra untuk mengetahui perkembangan siasatan kes itu, selain merujuk polis untuk mengesan serta mendapatkan semula anak mangsa.

myMetro 16 Sep 2014


Suami tamak ugut bunuh isteri

IPOH – Seorang kerani mendakwa diugut bunuh oleh suaminya dan dipaksa menyerahkan kesemua hartanya sekiranya mahu anak lelaki yang kini berada di Pakistan kembali ke pangkuannya.

Zarena Bibi Omar Din, 38, berkata, suaminya yang merupakan warga Amerika Syarikat kelahiran Pakistan memberitahu sanggup membunuh anak mereka, Ziad Mohammad Talib, 9, sekiranya kereta dan rumah mereka di Tambun tidak diserahkan kepada lelaki itu.

Menurutnya, dia terpisah dengan anak lelakinya setelah dikurung di rumah suaminya itu ketika berkunjung ke Mansehra, Pakistan pada 2 Februari lalu selepas 10 tahun berkahwin.

“Ketika di Pakistan, saya diugut bunuh setiap hari sekiranya enggan menyerahkan rumah di Sunway City, Tambun, kereta Perodua Kembara dan wang berjumlah RM18,000.

“Adik ipar turut menyediakan afidavit dan dokumen yang ditiru tandatangan serta memukul dan memaksa saya untuk meletakkan cap jari di atas dokumen berbahasa Urdu,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Pusat Khidmat dan Aduan BN
Perak di sini, semalam.

Zarena berkata, dia dihantar pulang sendirian pada 10 Mac lalu manakala, anaknya dijadikan tebusan sementara harta terbabit diserahkan kepada seorang wanita bekerja sebagai penjawat awam yang turut bersubahat dalam kes itu.

Dakwanya, suaminya mahu dia menukar hak milik hartanah di Sunway City ke atas seorang wanita yang bertugas di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) dan anaknya masih ditahan oleh keluarga lelaki itu di Pakistan.

"Kali terakhir berhubung dengan suami adalah hujung Julai lalu di mana dia masih berkeras enggan menyerahkan kembali anak saya.

“Laporan polis berasingan telah dibuat dan saya menemui pelbagai pihak antaranya Interpol, Wisma Putra dan Biro Siasat Persekutuan (FBI) dalam usaha mendapatkan semula anak saya,” katanya.

Zarena berkata, anaknya itu dipercayai berada di Pakistan secara tidak sah apabila visanya tamat pada 22 April lalu.

“Sepanjang Sepanjang tempoh ini, saya dalam keadaan tertekan risaukan keselamatan anak saya. Saya telah dimaki, diugut dengan pelbagai cara dan saya berdiam diri kerana hanya mahukan kembali anak saya.

“Saya mengharapkan simpati mana-mana pihak untuk mendapatkan kembali anak saya memandangkan usaha dilakukan sebelum ini tidak membuahkan hasil, sementara penjawat awam terbabit perlu diambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Sinar Harian 16 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment