August 29, 2014

Pelajar OKU ditemui lemas dalam kolam

KUANTAN - Seorang pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) ditemui mati lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam di Tasik Kayu Balak, Kampung Darat dekat Sungai Ular di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, mayat Abdul Rahman Abdul Halim, 16, dari Kampung Darat, Sungai Ular ditemui oleh pasukan penyelamat pada jam 6.50 petang semalam selepas lebih sejam dilaporkan hilang.

"Siasatan awal mendapati, mangsa telah terjatuh di dalam kolam buatan sedalam 4.5 meter itu. Pasir di kolam itu yang telah terbiar sejak lima tahun lepas dipercayai disedut untuk digunakan untuk projek lebuh raya," katanya kepada Bernama di sini.

Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan dan bedah siasat yang dijalankan malam tadi mendapati tiada unsur-unsur jenayah terlibat dalam kes ini.

Sementara itu katanya, seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas turun memancing ikan di pantai Beserah pagi semalam berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat pagi tadi.

Beliau berkata, Ismail Abd Rahman, 61, ditemui jam 7.45 pagi, kira-kira 25 kilometer dari pantai dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mangsa sebelum itu dilaporkan telah keluar ke laut dari jeti Kampung Pelindung, di sini untuk memancing bersendirian awal pukul 7 pagi semalam dan sepatutnya pulang kira-kira pukul 4 petang hari yang sama.

"Bagaimanapun sehingga malam semalam, mangsa masih tidak pulang ke rumah menyebabkan anak lelaki mangsa berusia 31 tahun membuat laporan polis dan gerakan mencari serta menyelamat telah dilakukan," katanya.

Menurutnya pasukan penyelamat kemudian berjaya menemui nelayan itu dan siasatan mendapati enjin botnya mengalami kerosakan menyebabkan mangsa tidak dapat pulang ke darat. - Bernama

29 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment