August 24, 2014

Jumpa tengkorak manusia

KUALA LUMPUR - Satu objek dipercayai tengkorak manusia ditemui di sebuah tempat letak kereta di Jalan Pahang Barat, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, objek terbabit ditemui orang awam, sebelum perkara itu dilaporkan kepada polis kira-kira jam 10.30 pagi.

"Kita temui objek menyerupai tengkorak manusia dan siasatan lanjut membawa polis ke ke lokasi lain dipercayai tempat mangsa meninggal dunia.

"Lokasi itu terletak di atas bukit bersebelahan dengan kawasan tempat letak kereta berkenaan," katanya, semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan menyeluruh menemui beberapa tulang serta cebisan  pakaian mangsa yang reput.

Menurutnya, kesemua barang itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Sinar Harian 24 Ogos 2014


Tengkorak milik bekas anggota polis

Kuala Lumpur: Serpihan tengkorak manusia dengan kesan terbakar yang ditemui di tempat letak kereta bersebelahan Hospital Tawakal Baru, Jalan Pahang, di sini, kelmarin disahkan bekas anggota polis berpangkat Koperal berusia 52 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada kematian mangsa disebabkan perbuatan jenayah atau sebaliknya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di kawasan semak atas bukit 20 meter dari tempat penemuan tengkorak itu membawa kepada penemuan beberapa lagi serpihan tulang manusia dan cebisan pakaian.

“Berdasarkan kepada keadaan tengkorak dan tulang, sukar untuk lihat kesan perbuatan jenayah. Setakat ini siasatan dilakukan mengikut Kes Kematian Mengejut (SDR) sementara menunggu laporan daripada patologi.

“Turut ditemui beg duit dipercayai milik mangsa yang mengandungi kad ATM Maybank, MyKad, Lesen Memandu dan wang tunai RM3,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, orang awam yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Pada jam 8.30 pagi kelmarin seorang penyelia kawasan parkir kereta terkejut selepas menemui satu objek yang menyerupai tengkorak manusia.

myMetro 25 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment