August 28, 2014

Mayat lelaki ditemui sudah berulat

SHAH ALAM 27 Ogos - Mayat seorang lelaki dengan kedua-dua tangannya terikat ke belakang serta berulat ditemui di kawasan pembuangan sampah di Lot 1354, Off Jalan Sungai Jati di sini, hari ini.

Mayat tanpa identiti itu ditemui orang awam pada pukul 10 pagi dalam keadaan tertiarap di atas timbunan sampah-sarap sebelum melaporkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarulzaman Mamat berkata, siasatan awal percaya mangsa telah mati sejak dua atau tiga hari lalu berdasarkan keadaan mayat.

"Pemeriksaan mendapati terdapat kesan luka akibat tetakan pada bahagian badan. Ketika ditemui mangsa yang mempunyai ketinggian 165 sentimeter itu memakai baju T berwarna hitam, berseluar jean biru dan berselipar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, mayat itu telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat atau kehilangan keluarga segera tampil ke balai polis berhampiran bagi urusan mengenal pasti mangsa.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu juga diminta untuk membantu siasatan di balai polis berhampiran," katanya.

Utusan 28 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment