July 20, 2014

Mati dibelasah selepas mengamuk

MENGERIKAN: Keadaan mayat Risal setelah dipukul kerana mengamuk di Ladang Sungai Tangit Bekenu semalam.

MIRI: Seorang lelaki warga Indonesia dipercayai dibelasah hingga mati setelah mengamuk, menembak dan menetak pekerja ladang dalam kejadian di Jalan 33, Blok 3, Ladang Sungai Tangit Bekenu, di sini pagi semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Risal, 30- an, dipercayai dipukul sekumpulan lelaki untuk mengelak mangsa mencederakan pekerja ladang.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee mengesahkan kes berkenaan yang berlaku sekitar jam 11.55 pagi.

Sebelum kejadian, Risal melepaskan dua das tembakan menggunakan senapang patah ke arah pekerja-pekerja ladang yang sedang sibuk mengambil buah kelapa sawit.

Risal juga dipercayai menetak kepala salah seorang pekerja warga Indonesia yang dikenali Baharuddin ketika pekerja bertempiaran lari ketakutan.

Seorang pekerja Indonesia yang dikenali Ilham, 24, kemudiannya dipercayai memukul kepala Risal menggunakan batang dahan kelapa sawit ketika dia cuba mengisi peluru ke dalam senapangnya.

Sekumpulan lelaki lain kemudiannya dipercayai bertindak memukul dan menyepak Risal yang jatuh sehingga meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan serius di kepala.

Gan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Ka­nun Keseksaan dan Risal merupakan suspek dalam kes mendatangkan kecederaan menggunakan senapang patah buatan sendiri.

Selain senapang, polis turut menemui sebutir peluru pen­abur yang belum digunakan, sebilah pedang dan sebatang dahan sawit.

Polis kini mengesan dua ke­longsong peluru yang dilepas oleh Risal, justeru mengenal pasti dua suspek dan berusaha mengesan suspek-suspek lain.

Utusan Borneo 20 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment