July 30, 2014

‘Anak terkulai bagai ditembak’

“Ketika saya meletakkan motosikal tiba-tiba mercun bola jatuh dari atas pokok dipercayai dibaling seorang individu dan meletup betul-betul di depan kami berdua.

“Sebaik meletup, anak yang berada dalam dakapan saya itu terus terkulai layu bagaikan terkena tembakan sebelum saya bergegas ke Klinik Simpang Renggam untuk mendapatkan rawatan awal,” kata Abdul Rahman Endot, 43, bapa kepada Mohd Hafi Rayan, 2, yang maut disebabkan terkena letupan mercun bola di Kampung Ithnin Maarof di sini, pada hari raya pertama.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, mangsa bersama bapanya mengikut rombongan marhaban kawasan berkenaan berkunjung ke rumah penduduk.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang selepas dirujuk dari Klinik Kesihatan Simpang Renggam.

Ketika kejadian, rombongan berkenaan dikatakan tiba di kediaman terakhir kunjungan mereka yang juga terletak selang dua rumah daripada dua beranak berkenaan.

Abdul Rahman juga bercadang terus pulang ke rumahnya sejurus selesai urusan di situ dan meletakkan motosikalnya di bawah pokok untuk berteduh.

Kejadian itu juga menyebabkan Abdul Rahman cedera di muka, telinga dan mulutnya.

Menurut Abdul Rahman, anaknya yang bongsu daripada tiga beradik itu sebelum itu amat gembira kerana dapat bersamanya bertandang ke rumah jiran dan dari awal lagi merengek mahu mengikutnya bersama rombongan terbabit.

“Tak sangka, rupa-rupanya ia petanda dia meninggalkan kami buat selama-lamanya dan kami amat terasa dengan kehilangannya.

“Walaupun reda dengan ketentuan Ilahi, saya masih tidak dapat menerima bahawa kematian anak saya disebabkan kecuaian orang lain yang bermain mercun,” katanya.

Abdul Rahman berkata, dia masih terbayang telatah anaknya itu terutama dengan gelagatnya memakai baju Melayu ketika pagi Aidilfitri.

Katanya, dia juga membuang semua gambar kenangan anaknya itu kerana tidak sanggup menatapnya lagi.

“Saya juga berkemungkinan mengalami masalah pendengaran di telinga kiri kesan daripada kejadian letupan mercun ini.

“Saya juga seakan-akan trauma setiap kali mendengar dentuman mercun dan mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya menyebabkan saya kehilangan anak,” katanya.

myMetro 31 Jul 2014


Budak maut angkara mercun

KLUANG 30 Julai - Ketika masyarakat Islam di negara ini bergembira menyambut kedatangan Syawal, kemeriahan tersebut tidak dirasai keluarga Abdul Rahman Endot, 43, yang kehilangan anak bongsu mereka angkara mercun pada hari pertama Aidilfitri di Simpang Renggam di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah hari itu, mangsa, Mohd. Hafi Rayan berada dalam dakapan bapanya yang ketika itu mengikuti rombongan marhaban ke rumah jiran di Kampung Ithnin Maarof sebelum sebiji mercun meletup di hadapan mereka.

Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku sewaktu dia sedang meletakkan motosikalnya di bawah pokok durian dan menyebabkan kecederaan parah di bahagian dada, muka dan tangan kiri anaknya itu sementara dia sendiri mengalami kecederaan di bibir, leher serta koyak pada gegendang telinga kiri.

"Ketika kejadian, saya hendak meletakkan motosikal sebelum secara tiba-tiba sebiji mercun jatuh di hadapan anak saya dan meletup. Kejadian berlaku dengan pantas sebelum saya dapati bahagian dada kiri anak saya terkoyak sebesar enam sentimeter," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Hafi Rayan disahkan meninggal dunia pada pukul 1.17 petang sewaktu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Simpang Renggam di sini dan mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom sebelum dikebumikan pada sebelah malam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Haji Ithnin Maarof.

Menurut Abdul Rahman, pada hari kejadian, anaknya bangun tidur awal dan berkeras mahu mengikutnya menyertai rombongan marhaban yang merupakan tradisi tempatan setiap kali sambutan Aidilfitri.

"Saya reda dengan kehilangan anak ketiga saya itu, namun pada masa sama berasa terkilan kerana sehingga kini tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab. Saya tidak mahu menuduh sesiapa, tetapi saya amat berharap individu yang bertanggungjawab akan mengaku salah dan menjernihkan keadaan.

"Buat waktu ini, sukar untuk saya memaafkan individu terbabit, saya serahkan perkara ini kepada pihak polis," katanya yang bertugas sebagai seorang juruteknik di Pasir Gudang.

Utusan 31 Jul 2014


'Kami boleh terima kematian Yayan'

KLUANG - Bapa kepada kanak-kanak berusia dua tahun yang maut akibat terkena mercun bola di Kampung Haji Ithnin Maarof, Simpang Renggam, pada Aidilfitri pertama lalu  terus berharap agar  individu yang menyebabkan kematian anaknya dibawa ke muka pengadilan.

Abdul Rahman Endot, 43, berkata, dia dan keluarga sudah boleh menerima kenyataan pemergian anak bongsu, Mohd Hafi Rayan yang disapa mesra dengan panggilan Yayan meskipun kes masih  disiasat polis.

“Saya sudah boleh terima kenyataan kehilangan anak bongsu saya itu, namun, kami sekeluarga terkilan kerana sehingga kini tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab.

“Saya harap pihak terbabit sekurang-kurangnya dapat memohon maaf agar hati kami sekeluarga lebih tenang," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan sempena program Jelajah Mesra Sinar Harian di pasaraya Econsave Simpang Renggam, semalam.

Abdul Rahman merupakan antara 20 penerima sumbangan yang disampaikan Pegawai Khas Ahli Parlimen Simpang Renggam, Taib Kosman.

Hadir sama, Pengurus Tugas-tugas Khas Kumpulan Media Karangkraf, Hashim Anang; Editor Sinar Harian Edisi Johor, Mohd Hanafiah Hashim dan Pengurus Operasi Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam.

Terdahulu, dalam kejadian pada hari pertama Aidilfitri, Mohd Hafi Rayan terkorban angkara mercun, manakala Abdul Rahman yang sedang mendukung anaknya itu turut tercedera.

Abdul Rahman yang bertugas sebagai juruteknik di Pasir Gudang berterima kasih di atas sumbangan yang diterima kerana dapat meringankan perbelanjaan keluarganya.

Program merupakan tajaan bersama pasaraya Econsave, Sinar Harian dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Sinar Harian 17 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment